Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan EIA projek tambak laut berkait Sultan Johor lulus

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek Maharani Energy Gateway di pesisir pantai Muar, Johor telah diluluskan.

Seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar, yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat enggan dinamakan, berkata bahawa kelulusan itu diberikan pada 25 Ogos.

Laporan EIA itu disediakan untuk penelitian dan maklum balas awam antara 14 Feb dan 30 Mac tahun ini.

Semasa pilihan raya DUN Johor pada Mac, beberapa pemimpin Pakatan Harapan mendakwa projek besar-besaran itu akan menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menjejaskan kehidupan nelayan Muar.

Pelabur utama dalam projek hub tenaga Maharani ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan pegangan efektif 38.5 peratus.

Proses kelulusan projek itu bergerak pantas apabila negeri itu diterajui oleh Hasni Mohammad, yang antara langkah lain mengubahsuai Pelan Struktur Johor 2030 untuk menampung projek penambakan itu.

Pada 21 Jun 2021, kurang tiga bulan selepas Maharani Energy Gateway Sdn Bhd (MEGSB) ditubuhkan, Pejabat Tanah Muar menulis surat kepada D Marine Industries Sdn Bhd milik kerabat diraja.

Surat itu memaklumkan bahawa syarikat berkenaan telah diberikan tanah laut seluas 1,295 hektar yang diperlukan untuk penambakan tersebut.

Menurut laporan EIA, hutan bakau di kawasan sekitar dijangka terjejas teruk akibat projek itu.

Laporan EIA juga memberi amaran bahawa kawasan penangkapan ikan nelayan tradisional akan terjejas, yang boleh menyebabkan konflik.

[Baca berita asal]


LAPORAN BERKAITAN:

Lagi projek tambak laut sultan Johor, kali ini di Selat Melaka

Tambak laut di Johor: Dari mana pasir akan diambil?

Dua pemuda 20-an jadi rakan kongsi bisnes Sultan Johor