Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramkarpal: Buat p'raya serentak , rakyat faham kita dipaksa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramkarpal Singh merayu kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak meminta pembubaran DUN yang dikuasainya.

Penyandang kerusi parlimen Bukit Gelugor itu berpendapat mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya umum akan membebankan rakyat.

Menurut pengerusi biro undang-undang DAP itu, rakyat di Pulau Pinang tidak mahu pilihan raya berasingan.

"Saya telah turun ke lapangan bertemu akar umbi di Pulau Pinang... Hasrat mereka untuk mengadakan pilihan raya negeri dan parlimen serentak amat besar," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agungnya Anthony Loke mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.

Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, mahu pilihan raya serentak untuk negeri yang dikuasai DAP itu tetapi Loke lebih suka berpegang kepada pendirian PH.

Sementara itu, Ramkarpal percaya rakyat akan faham bahawa PH terpaksa menghadapi situasi itu sekiranya DUN dibubarkan.

“Tidak dinafikan, negeri-negeri Pakatan Harapan telah mengumumkan mereka akan mengadakan pilihan raya mereka tahun depan tetapi pastinya, pengumuman ini dibuat dalam konteks mengelak pilihan raya umum di tengah-tengah kemungkinan banjir pada akhir tahun ini.

“Tetapi sekarang kerajaan persekutuan telah memaksa kita ke dalam pilihan raya umum dengan rakyat tidak ada pilihan selain keluar mengundi walaupun terdapat kemungkinan sebenar keadaan cuaca buruk.

"Adakah patut sekiranya negeri-negeri PH ini lebih membebankan pengundi lagi dengan mendesak mereka keluar mengundi semula pada tahun depan untuk pilihan raya negeri?

“Biar saya jelaskan. PH menentang pilihan raya yang diadakan sekarang dan kami telah menyatakan alasan kami untuk ini berkali-kali.

“Tetapi kami terpaksa mempertimbangkan pilihan raya negeri kerana keputusan kerajaan pusat yang mementingkan diri sendiri menggesa pilihan raya parlimen sekarang.

‘Siapa paksa PRU banjir?’

“Ini bermakna rakyat tiada pilihan selain keluar mengundi,” tambahnya.

Ramkarpal mengakui bahawa pembubaran DUN negeri akan memberi 'peluru' kepada saingan politik PH.

“Pembangkang (di negeri-negeri ini) akan mengatakan bahawa kita tidak mempunyai prinsip dengan mengingkari keputusan kita untuk mengadakan pilihan raya negeri pada tahun depan.

"Tetapi sebenarnya, mari kita tanya diri kita sendiri siapa yang menyebabkan perkara ini?

“Tiada apa-apa yang tidak berprinsip dalam mengadakan pilihan raya serentak sekarang kerana ia sudah tentu demi kepentingan rakyat.

"Rakyat akan faham bahawa kita terpaksa melakukan ini kerana pada awalnya kerajaan persekutuan yang memaksa 'pilihan raya banjir' ini kepada kita," katanya lagi.

PAS juga menegaskan tidak akan membubarkan DUN Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang berada di bawah teraju pentadbirannya.

[Baca berita asal]