Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Rosdy tiada maklumat penuh Umno Pekan calonkan Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, memaklumkan dia belum menerima maklumat lengkap berkaitan cadangan Umno Pekan mencalonkan Najib Razak untuk kerusi parlimen Pekan dalam PRU akan datang.

“Setakat ini saya tidak mendapat apa-apa maklumat, dan saya akan rujuk kepada pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan penasihat undang-undang (kerajaan) negeri... sekiranya ada pencalonanlah,” katanya dalam sidang media khas di Kuantan Pahang, hari ini.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan dibuat Timbalan Ketua Umno Pekan, Zamri Ramly, pada Khamis yang mengesahkan nama Najib adalah antara lima calon dikemukakan bahagian itu untuk pucuk pimpinan BN.

Zamri juga dilaporkan menolak ramalan ramai pihak mengenai kemungkinan dua anak Najib, - Nizar atau Nooryana Najwa - akan bertanding di kerusi berkenaan.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan kesalahannya menyelewengkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, Wan Rosdy mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dibubarkan selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Katanya pembubaran ini adalah selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang.

Ditanya mengenai calon yang akan ditawarkan BN Pahang pada PRU ke-15, Wan Rosdy berkata perkara itu akan diputuskan kemudian, namun tidak menolak kemungkinan lebih ramai muka baharu akan diketengahkan.

"Itu perkara biasa, dari dulu lagi sejak kita mengadakan pilihan raya pasti ada muka baru dan muka lama," katanya lagi.

Berurusan terus dengan Wan Rosdy

Wan Rosdy juga memberitahu, keputusan PAS untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRU nanti tidak menjejaskan peluang BN untuk terus menguasai Pahang.

Katanya, hal itu berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan negeri yang sangat baik dan dibuktikan dengan peningkatan kutipan hasil melebihi RM1 bilion sehingga Sept lalu.

"Kita juga berjaya menarik pelaburan asing melebihi RM50 bilion dan mampu mengurangkan hutang (kerajaan negeri) kepada kerajaan Pusat dari RM3.3 bilion kepada RM950 juta dalam tempoh 53 bulan kita (BN) menjadi kerajaan di Pahang,” katanya.

Umno dan PAS Pahang pada April 2021 memeterai Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani sendiri oleh Wan Rosdy dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Bagaimanapun hubungan kedua-dua parti di peringkat pusat mula bermasalah selepas pimpinan mereka saling berbalas kenyataan mengenai kedudukan gabungan itu.

Pada September lalu, Ketua Penerangan PAS Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya memaklumkan semua ahli dewan undangan negeri (Adun) parti itu tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak awal tahun ini.

Perkara itu kemudiannya disahkan Rosli, namun memaklumkan semua Adun PAS tetap melakukan kerja seperti biasa walaupun tanpa peruntukan daripada kerajaan Pahang.

Sebelum dibubarkan, BN Pahang mempunyai 25 kerusi DUN, Pakatan Harapan memiliki sembilan kerusi dan PAS lapan.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Pahang, Abdul Hamid Nazahar ketika dihubungi memaklumkan urusan berkaitan senarai cadangan nama calon dari semua bahagian Umno diserahkan terus kepada Wan Rosdy selaku pengerusi negeri.

"Semua ketua Umno bahagian berurusan terus dengan Wan Rosdy," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.