Skip to main
Logo Malaysiakini

Mukhriz akan pertahan kerusi Jerlun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi parlimen Jerlun yang disandangnya.

Perkara ini dinyatakan menerusi rakaman video dalam media sosial, yang memohon mandat baru sebagai ahli parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya memohon sokongan dan undi tuan-tuan dan puan-puan warga Jerlun menjelang PRU15 ini.

“Dengan penuh rendah diri, saya dan seluruh parti Pejuang Tanah Air yang menjadi komponen gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) mohon diberi kepercayaan untuk berkhidmat bagi seluruh rakyat di parlimen Jerlun sekali lagi,” katanya.

Sebelum itu, Mukhriz mengucapkan penghargaan kepada rakyat Jerlun yang telah memberinya peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya amat terharu dengan sokongan yang tak berbelah bahagi yang diberikan semasa kami menjadi kerajaan dan semasa menjadi pembangkang. 

“Sokongan yang sentiasa konsisten itu sangat kami hargai,” ujarnya yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Jitra.

Katanya, sepanjang bergelar wakil rakyat di situ, pelbagai pembangunan dilakukannya dan pelbagai bantuan disalurkan kepada penduduk.

Antaranya, katanya, pembangunan seperti membina dan menaik taraf prasarana seperti kompleks sukan, projek perumahan rakyat, melebarkan jalan dan membina sekolah-sekolah baharu.

Pada PRU14, Mukhriz yang sebelum ini mewakili Bersatu memenangi kerusi parlimen Jerlun dengan majoriti 5,866 undi menewaskan penyandangnya Othman Aziz daripada BN dan calon PAS Abd Ghani Ahmad.

Pejuang akan memasuki pilihan raya bersama gabungan baru Gerakan Tanah Air (GTA) bersama beberapa parti kecil Melayu-Islam.