Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir, kemarau, gelombang haba: Empat dari lima bandar seluruh dunia dalam risiko

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Empat dari lima bandar di seluruh dunia menghadapi iklim membahayakan seperti gelombang haba, banjir dan kemarau, menurut data oleh kumpulan alam sekitar CDP pada Khamis.

Laporan CDP berjudul "Melindungi Manusia dan Planet" meninjau 998 bandar dari seluruh dunia menunjukkan bahawa 80 peratus menghadapi peristiwa cuaca ekstrem.

Selain itu, hampir satu pertiga dari bandar berkenaan, kata CDP mengalami bahaya berkaitan iklim yang mengancam sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk mereka.

CDP merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di London. Ia menjalankan sistem pendedahan untuk syarikat, bandar dan negeri di seluruh dunia untuk melaporkan kesan alam sekitar akibat operasi mereka.

Menurut CDP lagi, hampir dua pertiga daripada bandar raya menjangkakan bahaya yang dihadapi akan menjadi lebih sengit pada masa hadapan manakala lebih separuh menjangkakan ia akan menjadi lebih kerap menjelang 2025.

Antara bandar yang dilanda cuaca ekstrem setakat tahun ini ialah Karachi di Pakistan, dengan bah besar telah mengorbankan hampir 1,700 nyawa dan Fort Myers di Florida apabila Taufan Ian meragut lebih 100 orang.

CDP berkata warga tua, keluarga berpendapatan rendah, kanak-kanak dan komuniti minoriti terpinggir paling terdedah dengan keadaan ini dan penggubal dasar perlu mencerminkan keperluan rakyat apabila merancang tindak balas mereka terhadap krisis iklim.

"Meletakkan kepentingan orang ramai di tengah-tengah tindakan iklim, daripada perancangan hingga pelaksanaan akan memperbaiki kehidupan," kata pemangku pengarah Global CDP, Maia Kutner.

Hampir dua pertiga bandar telah mengambil sekurang-kurangnya satu tindakan iklim yang berpaksikan rakyat dan melihat manfaat, jelas laporan itu.

Ini termasuk perlindungan kesihatan dan sosial yang lebih baik, peningkatan ekonomi dan peningkatan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, tidak semua bandar boleh menggunakan pendekatan sedemikian dan pertubuhan itu berkata sokongan kewangan yang lebih besar daripada kerajaan diperlukan untuk membolehkan inisiatif dan peraturan yang kukuh terhadap alam sekitar.

Lebih separuh dari bandar di seluruh dunia pula dilaporkan menghadapi halangan dalam mencapai matlamat pengurangan pelepasan karbon mereka, dengan keupayaan kewangan merupakan halangan yang paling biasa, menurut laporan itu.

(Laporan oleh Dina Kartit; suntingan oleh Valentine Baldassari, Simon Jessop dan Hugh Lawson)

- Reuters