Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahasiswa UM kecam pihak universiti kerana hentikan forum kebebasan bersuara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membidas pihak berkuasa universiti kerana menghentikan forum membincangkan kebebasan bersuara semalam.

"Kami juga amat kesal, kerana ini tidak sepatutnya wujud dalam UM (Universiti Malaya), yang merupakan antara universiti terbaik di Malaysia.

"Kami harap ada unsur-unsur akademik semasa ‘Week of Welcome' ini, tetapi pihak universiti telah menghentikan sesi akademik ini, dan menyebabkan pelajar kita tidak dapat pendedahan kepada pendapat yang berbeza, di mana pelajar boleh menggunakan fikiran kritis mereka untuk membezakan apa betul dan apa salah, yang mana kaca dan yang mana permata.

"Mereka (pihak berkuasa universiti) bertindak seperti ibu bapa yang melampau, dan kata ini tak sesuai, speaker ini tak boleh cakap. Mereka terus melarang sesi ini berlangsung," kata Presiden KMUM Ooi Guo Shen pada sidang media hari ini.

Forum yang dijadualkan diadakan pagi semalam itu dianjurkan oleh KMUM sempena minggu orientasi universiti.

Ia bertujuan sebagai forum akademik bertajuk "Kebebasan Bersuara di Kampus" yang menampilkan penyelaras Suaram Wong Yan Ke, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom, dan Setiausaha Agung KMUM Najwa Hureen.

Wong merupakan graduan UM, manakala Azmi sebelum ini merupakan pensyarah undang-undang di universiti itu.

Wong dikatakan dilarang memasuki Dewan Tunku Canselor oleh polis bantuan universiti itu.

Walaupun ahli panel forum berjaya memasuki dewan melalui pintu belakang, pentadbiran universiti didakwa menutup sistem bunyinya dalam masa lima minit selepas acara bermula, dan menyuraikan kira-kira 2,000 pelajar yang menghadiri forum itu.

Menurut Ooi, seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadapnya.

Dia menuntut pegawai universiti yang terlibat dalam kejadian itu memohon maaf kepada KMUM dan mahasiswa kerana mengganggu forum.

Dia juga menggesa pentadbiran universiti untuk memecat pegawaii itu jika perkara sama berulang pada masa hadapan, dengan alasan bahawa tingkah laku "tidak profesional" itu menghalang UM daripada menjadi universiti yang lebih baik.

Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, Ooi menggesa ahli politik semua pihak supaya berikrar mempertahankan hak mahasiswa, termasuk kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Malaysiakini telah menghubungi pihak universiti untuk mengulas berhubung kejadian itu dan sedang menunggu jawapan.

Wong Yan Ke

Sementara itu, Ooi berkata KMUM pada mulanya menjemput Penyelaras Suaram Nik Azura Nik Nasron untuk menjadi ahli panel, tetapi Wong menggantikannya kerana dia tidak dapat menghadiri majlis pagi itu.

Ia dikatakan alasan yang digunakan universiti untuk menamatkan forum, kerana KMUM tidak mempunyai kelulusan universiti untuk menjemput Wong berucap.

Ooi mendakwa KMUM juga mahu menjemput aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza ke panel, tetapi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UM menentang sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa Fahmi "sama sekali tidak berjasa".

Para mahasiswa dikatakan diminta untuk mencari seseorang yang "berperawakan lebih tinggi" untuk menjadi panel.

“Saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kenapa pihak pentadbiran yang memilih siapa yang sesuai menjadi penceramah, siapa yang tidak sesuai? Ini tidak munasabah.

“Ini menindas kebebasan bersuara panel kami, dan juga kebebasan akademik," katanya.

Ooi berkata pendekatan universiti telah membawa kepada kekurangan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, yang menyumbang kepada keciciran universiti daripada kedudukan 350 Terbaik.

Kira-kira 20 wakil pelajar hadir pada sidang media itu, termasuk Presiden Kesatuan Pelajar UIAM Aliff Naif Mohd Fizam, naib presiden Rafiq Shahmie, dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Monash Dominic Lee, yang hadir menyakatan solidariti mereka.

Sebelum ini, semasa tamat pengajiannya pada 14 Okt 2019, Wong mengadakan bantahan terhadap Naib Canselor UM ketika itu Abdul Rahim Hashim kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada Kongres Maruah Melayu, seminggu sebelumnya.

UM kemudiannya membuat laporan polis terhadap Wong, yang didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana bantahannya.

Pentadbiran UM kemudian membuat laporan polis berhubung perkara ini.

Wong didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (penghinaan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan) pada 26 Feb 2020 dan perbicaraan masih diteruskan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.