Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: MCA sedia letak muka baru untuk tandingi nama-nama besar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut pada pilihan raya umum (PRU) lalu, MCA kini giat menampilkan muka baru dalam usaha untuk memulihkan semula imejnya.

Strategi itu boleh dilihat pada pilihan raya negeri sebelum ini apabila pendatang baru dalam parti itu diberi peluang menjadi calon.

Pada pilihan raya negeri Johor Mac lalu, MCA mempertaruhkan calon termuda, iaitu peguam Kelly Chye yang berusia 27 tahun.

Dua exco Johor dari MCA juga berumur di bawah 40 tahun.

Baru-baru ini, Malaysiakini menemu bual tiga pemimpin muda MCA untuk berkongsi pandangan mereka mengenai politik.

Mereka ialah jurucakap MCA, Saw Yee Fung, timbalan ketua biro aduan dan perkhidmatan awam MCA, Chua Jian Boon dan ketua Pemuda Taiping, Lee Haw Chen.

Mereka merupakan golongan profesional berpendidikan tinggi dari MCA yang dijangka membuat penampilan sulung pada PRU akan datang bagi menentang calon-calon ‘heavyweight’ dari parti lawan.

Saw, yang merupakan penyelaras BN Bayan Baru, aktif di kawasan itu sejak awal tahun ini dan telahpun melancarkan bilik gerakan bulan lalu, dengan restu presiden parti, Wee Ka Siong.

Dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, Saw mahu diberi peluang berkhidmat di kampung halamannya.

"Jadi apabila kepimpinan bertanya kepada saya sama ada saya sanggup menjejakkan kaki ke Bayan Baru, saya memberikan jawapan yang pasti," kata ketua Pemuda MCA Raub itu.

Saw menyertai MCA pada 2014 dan berkhidmat sebagai setiausaha sulit Chew Mei Fun, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat ketika itu.

Dia kini memulakan kempen di kawasan parlimen itu dengan slogan #BayanBaruBaru dan dijangka akan menentang penyandang Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin, yang menang dengan majoriti lebih 37,000 pada PRU14.

Saw, 33 berkata dia berasakan sambutan dan sentimen orang ramai sekarang sangat berbeza berbanding sebelum PRU14.

“Pada pilihan raya umum lalu, orang ramai terpengaruh dengan sentimen untuk menukar kerajaan dengan begitu kuat dan mereka lebih memusuhi BN. Tapi kini terdapat perubahan yang ketara,” katanya.

Hentikan serangan peribadi

Bagaimanapun, senario itu mungkin berbeza di selatan tahah air.

Chua Jian Boon, yang merupakan pegawai khas kepada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, dia masih menghadapi banyak serangan peribadi dan kata-kata cercaan.

Chua bagaimanapun berkata, setiap ahli politik mesti mendengar suara rakyat bagi memahami sentimen orang ramai, walaupun menerima kritikan pedas.

“Baru-baru ini, saya banyak diserang di internet, malah dikecam hanya kerana memuat naik foto saya sedang makan... Sikap sebegini perlu diubah.

"Semua orang boleh ada pendapat mereka sendiri mengenai sesuatu dasar tetapi serangan tidak berasas tidak akan membawa sebarang perubahan," tegasnya.

Percaya ideologi MCA

Sementara itu, Lee Haw Chen, 41, berkata dia memiiki sejarah panjang bersama MCA kerana bapanya juga merupakan seorang ahli parti yang aktif.

Lee kini mengusahakan sebuah klinik perubatan tradisional Cina di Taiping.

“Saya percaya pada perjuangan politik dan ideologi MCA. Oleh itu saya menyertai parti ini sejurus selepas saya menamatkan pengajian di universiti.

“Saya sentiasa mahu berkhidmat dan membantu orang ramai dan saya percaya dengan menyertai MCA, saya boleh melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

[Baca berita asal]