Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan Khaled buat Hadi: Tolonglah jaga akhlak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jaga akhlak sebagai tokoh yang dilihat membawa imej agama - itu 'nasihat' diberikan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, kepada Abdul Hadi Awang.

Ditanya mengenai sebab PAS menolak kerjasama dengan Umno, Khaled berkata, kenyataan diberikan Abdul Hadi itu hanyalah alasan untuk mewajarkan langkah tersebut.

"Pada saya itu hanya satu alasan...

"Kalau kata parti Umno 'keruh', buat apa (PAS) ambil usaha bertemu dan mencari? Dua kali dia mencari Umno," katanya kepada media selepas persidangan Umno Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.

Tambah bekas menteri besar Johor itu lagi, Umno boleh faham apabila Abdul Hadi membuat kenyataan politik sesuai dengan kedudukannya sekarang.

Pun begitu tambah Khaled, Abdul Hadi tidak wajar melabelkan Umno dengan ungkapan seperti 'keruh' dan seumpama dengannya..

"Ini tidak menunjukkan akhlak yang baik sebagai orang yang dikatakan membawa agama dalam perjuangan.

"Mana akhlak? Tolonglah jaga akhlak," katanya.

Umno tak pernah cari PAS

Semalam Abdul Hadi mengumumkan secara jelas bahawa PAS memilih Perikatan Nasional sebagai sekutunya dalam menghadapi PRU ke-15 tidak lama lagi.

Selain menganggap Umno ketika ini sebagai parti 'keruh' kerana kes-kes rasuah yang dikaitkan dengan pemimpinnya, ahli parlimen Marang itu turut melihat pasangan mereka dalam Muafakat Nasional itu sebagai "gelenyar".

Kerjasama yang ingin dijalin itu pula digambarkan Abdul Hadi seperti buah durian yang belum masak dan boleh menyebabkan mudarat seperti kembung perut jika dimakan.

Abdul Hadi juga menjelaskan, memang ada antara ahli PAS yang berminat dengan Umno namun dia berpendapat langkah tersebut perlu ditangguhkan terlebih dulu.

Khaled berkata, ketika Umno digambarkan secara negatif oleh Abdul Hadi, sebenarnya PAS merupakan parti yang memulakan langkah untuk berbaik-baik sebelum ini.

"Umno tak pernah cari PAS, (sebaliknya) PAS yang cari Umno," katanya.

Khaled juga menyatakan, Umno dianggotai lebih tiga juta ahli dan hanya segelintir kecil berdepan dengan kes mahkamah.