Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu Batu Puteh: Saya ikut nasihat pegawai dilantik Apandi - Dr M

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata keputusannya sebelum ini berhubung Pulau Batu Puteh dibuat atas nasihat pegawai-pegawai yang dilantik oleh bekas peguam negara, Apandi Ali.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Mahathir sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan pulau itu.

“Itu pendapat dia (Ismail Sabri Yaakob) ada kecuaian. Tetapi saya bertindak selepas dinasihat oleh pegawai-pegawai dan pegawai-pegawai itu dilantik oleh Apandi,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Third Age Media Association di Menara Kuala Lumpur.

Semalam Ismail berkata pasukan khas semakan undang-undang tidak menolak kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan bekas perdana menteri berkenaan dalam isu Pulau Batu Puteh.

Menurut kenyataan itu, pasukan khas itu menyebut kecuaian dan kekhilafan tersebut menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

‘Terima apa saja keputusan ICJ’

Ditanya sama ada Malaysia perlu menuntut semula Pulau Batu Puteh, Mahathir berkata negara ini perlu menerima apa sahaja keputusan oleh ICJ.

“Bagi saya kita bagi janji dengan Singapura. Kita akan terima apa saja yang keputusan dibuat oleh mahkamah.

“Lepas tu kita tak boleh tolak, kita dah janji. Macam Pulau Litigan dan Sipadan, Indonesia tak boleh tuntut sebab dah diputuskan oleh court.

“Kita dah agree from the very beginning (Sejak dari awal). Kita boleh pergi court kalau kita bersetuju keputusan court akan diterima. Sekarang ni kita nak tolak not keeping to our promise-lah,” katanya.