'BN terima rasuah, PH ada komunis': MP gesa Hadi lapor polis
Penyandang ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membuat laporan polis berkenaan dakwaannya bahawa dalam BN ada penerima rasuah manakala PH pula ada pihak yang berfahaman komunis dan menolak raja.
Jika tidak, kata Lim, Abdul Hadi perlu memohon maaf atas kenyataan yang dibuat itu.
"Jika benar ada puak komunis dan yang menolak raja di dalam PH, maka saya cabar Hadi membuat laporan polis dalam masa 48 jam kerana ini melibatkan satu kesalahan yang amat serius dan perbuatan derhaka yang khianat terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara.
"Jika Hadi gagal buat laporan polis tersebut, bermakna dia telah berbohong dalam ceramah yang dibuatnya, dan dia sepatutnya meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim menyifatkan kenyataan itu sebagai membimbangkan dan dibuat tanpa disertakan asas dan bukti.
Abdul Hadi membuat kenyataan itu dalam kuliah mingguannya di Marang, Terengganu pada14 Oktober lalu, ketika menjelaskan mengapa PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN).
Dia berkata sebab PAS menolak PH pula kerana gabungan itu menyokong LGBT, dianggotai golongan komunis, pihak yang menolak raja dan juga mengkhianat orang Islam.
Berkenaan BN pula, Abdul Hadi berkata: “Kita (PAS) tak bersama dengan BN kerana ada keruh.... keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH.”
Lim berkata Hadi tidak membuat dakwaan terhadap BN itu ketika PAS bersama-sama gabungan itu dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob.
"Selepas menunggang Umno, kuda ini pula ditendang sekuat-kuatnya. Adakah ini satu cara kelakuan pemimpin PAS?" soalnya.
Dia juga menggesa polis dan SPRM mengambil keterangan Hadi kerana kemungkinan besar dia "memiliki maklumat tentang kesalahan rasuah" melibatkan BN seperti yang didakwanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai