Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail: Apa maksud Hadi Umno parti keruh?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Umno sebagai parti yang "keruh".

Ismail Sabri berkata dia tidak faham apa yang cuba disampaikan Abdul Hadi, ketika menjelaskan mengapa PAS memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya BN.

"Saya pun tak faham maksud parti 'keruh' tu, saya harap kita sesama kita ni terutamanya yang Umno, PAS selama ni telah cuba bekerjasama untuk Muafakat Nasional cuba elakkanlah daripada caci mencaci, tuduh menuduh.

"Jadi sebagai umat Islam tak sepatutnya kita menyerang sesama sendiri, sebab hubungan itu mungkin boleh elok semula (di masa) akan datang dan kita dalam politik ni kita tidak selamanya menjadi musuh, tidak selamanya menjadi kawan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Jentera Barisan Nasional (BN) P080 Bera di Bera, hari ini.

Pada 14 Oktober lalu, Abdul Hadi ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Marang, Terengganu berkata kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno-BN sebelum ini ibarat "durian mentah" yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.

"...Keruhnya (Umno) masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH,” katanya ketika itu.

Ismail menjelaskan dia cuba mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata kesat kepada mana-mana pihak kerana ia bukanlah tindakan yang menguntungkan.

"Sepatutnya kita cuba elakkan menyakitkan hati sesiapa dalam politik, mana tahu satu hari nanti kita nak duduk bersama balik demi kepentingan umat Islam dan Melayu di negara kita.

"Jadi kalau kita terlepas cakap tuduh yg bukan-bukan akhirnya boleh menyebabkan menimbulkan rasa sakit hati antara satu sama lain," katanya lagi.