Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan letak calon dalam PRU15 jika benar bimbang banjir'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi BN Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir membidas kerajaan negeri yang didakwanya menggunakan musim banjir sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pilihan raya peringkat DUN serentak dengan PRU15.

Musa yang juga pengerusi Umno Pulau Pinang mencabar PH yang mentadbir negeri itu untuk tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen pada PRU kali ini, jika mereka benar-benar serius dengan keselamatan rakyat.

"Jika mereka benar-benar tak ingin rakyat susah, maka jangan letakkan calon dalam pilihan raya peringkat parlimen.

"Mereka bercakap seolah-olah mereka bantu rakyat, tetapi mereka bebankan rakyat kerana terpaksa undi dua kali," katanya ketika sidang media di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Musa merujuk keputusan PH untuk tidak membubarkan DUN di negeri yang ditadbir gabungan itu, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Ia walaupun PH Pulau Pinang mencadangkan agar DUN turut dibubarkan, berdasarkan kehendak di akar umbi.

"Ketua menteri Pulau Pinang nak bubar DUN. Saya tak boleh kata dia penakut, tetapi kepimpinan partinya tak mahu bubar DUN," katanya.

Semalam, mesyuarat Majlis Presiden PH mengekalkan keputusan untuk tidak membubarkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata partinya akur dengan keputusan itu, walaupun ia adalah keputusan yang sukar dan terpaksa mengecewakan DAP Pulau Pinang.

[Baca berita asal]