Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir kilat di Kangar: Enam rumah terjejas - APM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebanyak enam rumah di Kampung Sentua terjejas dalam kejadian banjir kilat selepas hujan lebat di sekitar negeri ini sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud berkata setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan anggotanya telah melakukan tinjauan di kawasan terjejas banjir dan memberi bantuan awal kepada mangsa.

“Daripada pemerhatian APM, setakat ini empat kawasan iaitu Kampung Seriab, Kampung Sentua dan Kampung Bakau termasuk di Taman Kuala Perlis di Kuala Perlis telah dinaiki air pada paras buku lali,” katanya kepada Bernama di Kangar hari ini.

Mohd Izaimi berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan keselamatan orang awam terjaga.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa, meletakkan barangan berharga di tempat tinggi dan memastikan anak-anak mereka tidak bermain air ketika musim hujan ini bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

- Bernama