Zahid pilih untuk tidak aibkan PAS - komen BN ada 'keruh'
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan PAS bahawa jika mahu, dia juga boleh mengaibkan parti itu.
Mengulas mengenai kritikan terbaru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadap Umno, Ahmad Zahid berkata dia mempunyai akhlak dan tidak memilih untuk mengaibkan PAS.
"Kita faham kenyataan dia itu kenyataan peribadi kita tak berminat untuk respon.
"Kalau saya mahu mengaibkan saya boleh, tetapi saya mempunyai akhlak kita tidak (mahu) mengaibkan sesiapa.
"Terutamanya kita yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.
“Janganlah gunakan agama untuk tujuan politik, sepatutnya gunalah politik untuk memperkuatkan agama," kata Zahid pada sidang media selepas merasmikan persidangan Umno bahagian Bagan Datuk, di Perak, hari ini.
Dua hari lalu, Abdul Hadi Awang berkias menganggap kerjasama yang dijalin PAS dengan Umno-BN ibarat "durian mentah" yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.
Menjelaskan alasan mengapa PAS memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN, Abdul Hadi berkata partinya tidak dapat menerima Umno yang "keruh".
“Kita (PAS) tak bersama dengan BN kerana ada keruh.... keruhnya masih ada penerima rasuah.
"Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH (Pakatan Harapan),” katanya ketika meyampaikan kuliah mingguan di Marang, Terengganu.
Ahmad Zahid secara sinis mengingatkan PAS bahawa durian durinya tajam yang boleh memberi kelukaan kepada mereka terkena.
"Jangan labelkan parti lain dengan binatang atau tumbuhan saya khuatir buah durian, durinya tajam.
‘Duri tajam kena kepala’
"Saya takut siapa yang ada di bawah jika durian itu jatuh durinya atau tajamnya akan mengenai kepala walaupun tidak badan," katanya lagi.
Mengulas mengenai calon BN bagi PRU15, Ahmad Zahid berkata "war room" gabungan itu belum memuktamadkan lagi senarai calonnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi parlimen Bagan Datuk menyambut baik sesiapa saja yang ingin bertanding di kerusi berkenaan.
"(Saya) mengalu-alukan siapa saja ke Bagan Datuk, pengundi Bagan Datuk pastinya bijak sana memilih antara intan dan kaca...
"Dan tentunya mereka memilih calon yang terbaik yang akan mewakili mereka," katanya lagi.
Sebelum ini, bekas ahli parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail (gambar, atas) pada 13 Okt lalu berikrar untuk mencabar Ahmad Zahid dalam pilihan raya umum akan datang.
Anak sulung Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata, langkah tersebut diambilnya sebagai cara yang dianggap cukup kuat dan berkesan untuk menghantar mesej antirasuah kepada orang ramai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai