Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan akan letak calon di kawasan tertentu di Perak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Warisan (Warisan) Perak hanya akan meletakkan calon di kawasan tertentu sahaja dan bukan masuk Pilihan Raya Umum Ke-15 demi kemeriahan semata-mata.

Pengerusi negerinya Datuk Seri S Sunther berkata sebagai sebuah parti yang baharu di Semenanjung Malaysia termasuk di Perak, mereka perlu realistik dan memberikan fokus dari segi jentera serta persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU kelak.

“Bab kerusi ini kita sudah usulkan kepada presiden parti tiga hari lepas dan dia akan umum keputusan pada 21 Okt nanti.

“Kita harap dapat tandingi tiga atau empat kerusi, mungkin lebih di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Senarai calon pun sudah dimuktamadkan, kita tunggu keputusan presiden,” katanya kepada Bernama sewaktu program berkaitan persediaan jentera di Ipoh hari ini.

Jelasnya, penyelaras beberapa kawasan di negeri ini, telah dilantik bagi memudahkan pengoperasian jentera untuk terus bekerja keras sekurang-kurangnya memenangi satu kerusi nanti.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Warisan, parti berpangkalan di Sabah, dijangka bertanding di lima kawasan di Perak pada PRU15.

Pada 18 Jun lepas, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menerima borang keahlian parti di Ipoh memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan.

- Bernama