Skip to main
Logo Malaysiakini

Angin kencang, banjir landa Langkawi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hujan lebat serta angin kencang yang melanda sejak semalam mengakibatkan banjir yang menjejaskan enam kampung di lima mukim di Pulau Langkawi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Shahfikri Darus berkata kejadian itu turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan.

Antaranya di Jalan Perana di Mukim Ulu Melaka, Kampung Padang Ranggut dan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di Mukik Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah dan Kampung Keda Tok Wang Rendong di Mukim Kuah.

Selain itu, kata Shahfikri pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di Kampung Lubuk Semilang dan Kampung Yooi.

"Selain itu, dua kawasan dilaporkan berlaku tanah runtuh iaitu di Jalan Gunung Raya di Mukim Ulu Melaka," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, setakat tengah hari tadi keadaan cuaca di Langkawi masih hujan namun pemantauan masih dilakukan APM di kawasan yang berisiko banjir.

"Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan dan anggota kami turut melakukan pemantauan Paras air Sungai utama," katanya.

Shahfikri memaklumkan kawasan yang terjejas banjir adalah Kampung Teluk, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim di Tanjung Rhu, Kampung Padang Lalang dan Kampung Pasir Hitam dan Kampung Kuala Melaka.

Selain itu, katanya Pulau Tuba dan Telaga Tujuh di Mukim Padang Mat Sirat turut terjejas.

"Bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini," jelasnya lagi.

"Selain itu, ada kawasan yang turut dipenuhi air iaitu di Kampung Belanga Pecah dan Jalan Penarak Mukim Kuah, Telaga Harbour Pantai Kok, Fresh Mart Padang Putih, Pasar Padang Matsirat, Kampung Atas dan Kampung Sungai Melaka di Mukim Padang Mat Sirat.

"Kawasan lain turut dinaiki air adalah Kampung Kilim, Teluk Yu, Jalan Kelubi dan Batu Tampoi, Mukim Ulu Melaka, Empangan Padang Saga dan Kampung Padang Gaong," katanya lagi.