Skip to main
Logo Malaysiakini

Abdul Latiff sedia beri laluan muka baru di Mersing

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyandang kerusi parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bersedia memberi peluang kepada calon muka baru mewakili Bersatu untuk bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU15) nanti.

Beliau berkata telah tiba masanya untuk menonjolkan pemimpin baru yang bersedia dan bertenaga untuk memberi khidmat di kawasan itu.

"Saya dah bersedia memberi laluan kepada mereka yang lebih bertenaga kerana saya telah jadi wakil rakyat hampir enam penggal dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Ini adalah masa untuk kita beri peluang kepada calon muka baru tunjuk bakat mereka yang telah bersedia berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di Pasir Mas, hari ini

Mengulas lanjut, Abdul Latiff, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), berkata sekiranya namanya tidak dicalonkan pada PRU15, beliau akan masih bergiat aktif dalam politik dan akan membantu calon-calon yang bertanding.

Pada PRU14 lalu, Abdul Latif yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada PAS dan PKR.

Beliau keluar daripada Umno pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019.

- Bernama