Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin jangan syok sendiri, kata MB S'gor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menempelak pemimpin Bersatu Mohamed Azmin Ali bahawa negeri itu lebih teruk dibawah teraju pentadbirannya.

Sebaliknya, Amirudin berkata negeri itu menjadi lebih baik selepas Azmin meninggalkan pejabat menteri besar pada 2018 - dan dia berkata mempunyai data untuk menyokongnya.

Naib Presiden PKR itu pada hantaran di Twitter berkongsi infografik data Jabatan Perangkaan yang menunjukkan sumbangan Selangor kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara meningkat daripada 23.7 peratus pada 2018, kepada 24.8 peratus pada 2021.

Selain pertumbuhan ekonomi, Amirudin berkata program kebajikan untuk orang ramai juga bertambah.

"Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tapi usaha berpasukan," ciapnya dengan tanda pagar #janganperasan" dan #jangansyoksendiri."

Dalam ciapan lain, dia berkata dakwaan Azmin tidak berasas.

Amirudin dipercayai dipilih sendiri oleh Azmin untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor apabila dia menjadi menteri persekutuan selepas PRU14.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Semalam, Azmin dipetik sebagai berkata: "Lepas saya tinggal (jawatan menteri besar) nampak merosot prestasi (Selangor)."

Bekas timbalan presiden PKR itu juga berkata hubungan antara kerajaan pusat dan Selangor masih boleh diperbaiki.

Amirudin merupakan sekutu rapat Azmin sebelum 2020, tetapi tidak mengikut jejaknya bersama ahli parlimen PKR lain berpaling tadah semasa Langkah Sheraton pada 2020.