Skip to main
Logo Malaysiakini

M’sia hanya dapat pencemaran dari pemprosesan e-sisa dunia maju

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih seribu kontena mengandungi bertan sisa elektronik (e-sisa) diseludup secara haram untuk diproses di Malaysia setiap bulan, yang berisiko menyebabkan pencemaran di darat, air dan udara.

Menurut penggiat industri kitar semula, terdapat sekurang-kurangnya 200 kilang kitar semula berskala kecil dan besar yang memproses e-sisa secara haram.

Sisa ini diseludup dari negara maju seperti Amerika Syarikat dan diproses untuk memisahkan logam berharga seperti emas, aluminium dan tembaga.

Selepas itu, logam berharga tersebut dihantar ke negara China, di mana semua transaksi jual beli dilakukan, menurut sumber industri.

Ini bermakna, walaupun Malaysia merupakan pusat penting untuk industri yang bernilai berbilion ringgit ini, ia tidak mendapat apa-apa habuan, malah menjadi penerima sisa toksik dari proses pemisahan logam tersebut.

“Ekonomi Malaysia tidak mendapat apa-apa, sama ada dari segi kutipan cukai ataupun peluang pekerjaan,” kata seorang veteran dalam industri kitar semula, yang tidak mahu dinamakan.

Menurutnya, Malaysia dianggarkan hilang lebih RM10 bilion setahun dalam kutipan cukai akibat aktiviti seludup dan kitar semula e-sisa secara haram, tidak termasuk impak kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk, serta kos pemulihan dan pembersihan.

Malaysia menjadi ‘tong sampah’ bagi negara-negara maju apabila China menutup pintunya kepada perniagaan kitar semula e-sisa pada tahun 2018.

China bertindak sedemikian untuk melindungi negara mereka dari sisa kimia yang terhasil melalui proses kitar semula.

Kebanyakkan sisa yang sebelum ini dihantar ke China datang dari Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

e-sisa diseludup melepasi Kastam

Apabila China menutup pintunya pada 2018, semua sisa, tidak kira jenis dan nilainya, dihantar ke negara-negara lain termasuk Malaysia.

Tapi kini, hanya sisa bernilai rendah dihantar dan diproses di Malaysia. Sisa yang bernilai tinggi akan dihantar balik ke China.

Menurut sumber, China masih menerima sisa bernilai tinggi kerana proses kitar semula sisa tersebut kurang berbahaya dan kurang toksik.

Sisa-sisa yang diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjong Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan dan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Pulau Pinang.

Sumber Jabatan Kastam mengesahkan bahawa banyak kontena mengandungi sisa terlarang masuk tanpa dikesan kerana kandungan dinyatakan tidak sama dengan kandungan sebenar.

Pemindahan sisa-sisa ini dari satu negara ke negara lain melanggar undang-undang antarabangsa, seperti Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan.

Menurut Konvensyen Basel, negara pengeskport perlu mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport sebelum memindahkan sisa tersebut merentasi sempadan.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar memeriksa kontena mengandungi sisa buangan di NBCT, untuk memastikan tiada bahan larangan diseludup masuk.

Menurut seorang pegawai kastam kanan yang telah bersara, agak sukar untuk Jabatan Kastam untuk mengesan kontena mengandungi e-sisa, kerana bukan semua kontena diperiksa sebelum dilepaskan dari pelabuhan.

Katanya, bahan terlarang hanya dikesan apabila pihak Kastam melakukan pemeriksaan secara rawak, atau memeriksa kontena yang telah lama ditinggalkan di pelabuhan menggunakan mesin pengimbas.

“Adalah mustahil untuk memeriksa kontena yang keluar dari pelabuhan kerana ini memerlukan kakitangan yang ramai.

“Apabila sebuah kontena didapati mengandungi bahan terlarang, pihak pengimport akan didenda. Tetapi ramai terlepas dengan mendakwa nama mereka disalah guna untuk mengimport bahan tersebut.

“Agak mahal untuk para pengimport untuk menghantar semula kontena-kontena tersebut ke negara penghantar, jadi mereka boleh terlepas dengan senang dengan mendakwa barang tersebut bukan milik mereka,” katanya.

Sebuah kontena dihantar balik dari Pulau Pinang ke Amerika Syarikat pada tahun 2021, apabila didapati mengandungi e-sisa.

Menurut sumber, pihak Kastam baru-baru ini mendapati beberapa kotena yang ditinggalkan di NBCT selama beberapa bulan, mengandungi e-sisa.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini pihak Kastam telah memohon kebenaran dari Kementerian Kewangan untuk menjual kontena secara bidaan, kerana kontena-kontenta tersebut memakan ruang di pelabuhan.

Apabila dihubungi, ketua pegawai eksekutif Penang Port Sdn Bhd menafikan bahawa kontena-kontena tersebut mengandungi e-sisa.

Namun, dia mengakui kontenta-kontena tersebut mempunyai “kandungan seperti wayar” dan pihak Kastam telah menjualnya secara bidaan.

Pada Julai 2021, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah menghantar balik sebuah kontena ke Amerika Syarikat kerana ia mempunyai e-sisa.

Tahun sebelumnya, dua kontena mengandungi campuran sisa plastik dan e-sisa dikesan di NBCT apabila lalui mesin pengimbas Jabatan Kastam.

Apabila dihubungi, Jabatan Kastam berkata ia akan menjawab soalan-soalan Malaysiakini. Jawapan tersebut belum diterima semasa penerbitan artikel ini.

Deretan kilang kitar semula haram di seluruh negara

Berdasarkan siasatan Malaysiakini, jika sisa yang diseludup berjaya dikeluarkan dari pelabuhan, ia akan dihantar ke mana-mana kilang kitar semula di seluruh negara, walaupun pemprosesan e-sisa yang diimport adalah haram dari segi undang-undang.

Antara kilang kitar semula haram yang terbesar di Malaysia terletak di Segamat, Johor dan mempunyai lebih 3,000 pekerja asing, kata beberapa sumber.

Di Teluk Panglima Garang, Selangor, sebuah kilang peleburan aluminium juga beroperasi memproses e-sisa. Ia beroperasi di satu kawasan yang lebih besar dari lima padang bola, dan menyebabkan kemusnahan alam sekitar, kata beberapa sumber.

Menurut sumber industri kitar semula dan sumber dari Jabatan Alam Sekitar, yang tidak mahu dinamakan, kebanyakkan pekerja kilang tersebut adalah rakyat China.

Kilang-kilang ini menyebabkan pencemaran udara apabila mereka membakar sisa untuk memisahkan logam berharga. Mereka juga melepaskan sisa cecair ke sungai dan membuang sisa pepejal yang tidak dapat dikitar semula ke hutan, kata sumber.

Kilang-kilang di Gurun, Kedah ini mempunyai permit untuk menyimpan dan memindahkan bahan buangan, tapi dipercayai juga memproses e-sisa dari luar negara.

Di bahagian utara semenanjung Malaysia, gambar yang diambil dari udara menunjukkan deretan kilang di Gurun, Kedah, yang dipercayai memproses e-sisa dari luar negara.

Menurut sumber, kilang-kilang ini mempunyai lebih 1,000 pekerja asing, termasuk 300 rakyat China.

Siasatan Malaysiakini mendapati kilang-kilang ini membuat pembakaran sampah secara terbuka dan “memasak” papan litar (circuit board). Proses itu melepaskan bau busuk ke udara.

Untuk menceraikan logam berharga dari papan litar plastik, papan tersebut akan “dimasak” menggunakan asid dan bahan penghakis, manakala wayar pula dibakar untuk menceraikan tembaga dari salutan plastik.

Arang panas digunakan untuk proses peleburan di sebuah kilang yang memproses e-sisa, di Gurun, Kedah.

Tapak ini ditutup kepada orang luar dan dikawal rapi oleh pengawal keselamatan.

Namun, mereka yang bekerja di sekeliling kilang-kilang tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dapat bau bahan terbakar pada waktu malam.

JAS Kedah tidak menjawab soalan-soalan Malaysiakini berkenaan kilang-kilang tersebut, tetapi seorang sumber JAS Kedah berkata kilang-kilang tersebut mempunyai permit untuk menyimpan dan memindahkan bahan buangan.

Tetapi, mereka tidak mempunyai lesen untuk menggunakan relau atau membuat aktiviti peleburan.

Para penggiat industri kitar semula juga mempersoalkan mengapa kilang-kilang ini tidak mengikut piawaian keselamatan dan meninggalkan bahan-bahan buangan di ruangan terbuka.

Apabila Malaysiakini melawat kawasan ini pada bulan September, didapati beberapa lori yang dipenuhi beg jumbo memasuki tapak tersebut. Beg-beg jumbo tersebut dipercayai mengandungi e-sisa.

Menurut sumber industri, beg-beg jumbo seperti itu biasanya digunakan untuk memindahkan sisa dari luar negara, dan jarang digunakan untuk pemindahan sisa buangan dalam negeri.

Menurut sumber, pekerja-pekerja di sana diimport dari negara China kerana mereka mempunyai pengalaman dalam memproses e-sisa. Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari tapak tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat yang mengendali kilang-kilang tersebut melalui telefon tetapi panggilan tidak diangkat. Soalan juga telah dihantar ke syarikat tersebut melalui laman webnya.

Beg-beg jumbo yang dipercayai mengandungi e-sisa ditinggalkan di kawasan terbuka di sebuah kilang pemprosesan e-sisa di Gurun, Kedah.

Modus operandi yang sama digunakan di kilang-kilang lain yang memproses e-sisa secara haram di Teluk Panglima Garang dan Lembah Beringin di Selangor, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dan Juru di Pulau Pinang, Kawasan Perindustrian Sungai Petani, Kawasan Perindustrian Taman Ria dan Kawasan Perindustrian Kulim di Kedah, tambah sumber.

Terdapat juga mereka yang beroperasi di kawasan terpencil di sekitar negara. Kontena atau beg jumbo dipenuhi e-sisa akan dihantar terus ke mereka, kata sumber.

Industri haram ini juga telah berkembang maju, sehingga harga e-sisa yang belum diproses naik berlipat ganda sejak sisa ini mula diseludup masuk pada 2018.

Pada 2018, kilang-kilang ini membeli sisa import dengan harga RM3,000 ke RM6,000 untuk sebuah kontena.

Hari ini, sebuah kontena 20 kaki yang menganduni e-sisa berharga RM6,000 dan kontena 40 kaki boleh mencapai RM10,000, menurut siasatan Malaysiakini.

e-sisa diseludup melalui udara

Menurut pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Shab, para pengimport menggunakan pelbagai muslihat untuk menyeludup masuk e-sisa.

Terkini mereka menggunakan kargo udara, kerana terdapat lebih banyak pemeriksaan dijalankan di pelabuhan.

Pihak JAS Pulau Pinang menghidu modus operandi terbaru ini apabila sebuah serbuan dilakukan di sebuah kilang kitar semula plastik berdekatan Bukit Mertajam pada bulan Ogos.

Kilang tersebut didapati mengitar semula bateri litium-kadmium secara haram dan 250 kontena kargo udara dipenuhi dengan sisa bateri litium-kadmium telah dirampas.

Sebuah kilang yang memproses bateri cadium-litium yang diseludup dari luar negara diserbu oleh JAS Alam Sekitar pada bulan Ogos.

Siasatan awal JAS Pulau Pinang mendapati kilang tersebut dimiliki warga China.

Kes tersebut masih dalam siasatan, dan jika didapati bersalah, pemilik kilang tersebut boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara selama dua tahun kerana beroperasi tanpa lesen.

“Mereka mengimport e-sisa dalam kontena dan menyatakan bahawa kandungan adalah bahan buangan yang dibenarkan.

“Apabila dikesan oleh pihak Kastam, mereka pandai melepaskan diri dan mempunyai banyak cara untuk mendapatkan semula e-sisa tersebut untuk dikitar semula,” katanya bila ditemuramah di pejabatnya.

Katanya antaranya mereka akan membida untuk kontena tersebut secara proksi menggunakan ejen, apabila pihak Kastam menjual kontena-kontena yang diabaikan di pelabuhan.

Sisa yang seludup dan tidak boleh dikitar semula dibuang di sebuah sawah di Permatang Pauh pada Mac lalu.

Menurutnya, agak sukar untuk pihak berwajib untuk menjejak operasi kitar semula haram, kerana ia selalunya dijalankan di kilang yang mempunyai lesen untuk operasi lain. Biasanya lesen tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kami bertindakan ke atas operasi kitar semula e-sisa secara haram apabila mendapat aduan dari awam atau NGO tempatan.

“Aduan biasanya dibuat apabila didapati kilang-kilang ini menyebabkan pencemaran udara and air atau membuang sisa akhir di kawasan perumahan,” katanya.

Pada Mac lalu, JAS Pulau Pinang telah mendapat aduan berkenaan pembakaran sisa pepejal terbuka di sawah padi di Pematang Pauh. Semakan mendapati sisa pepejal tersebut adalah sisa terlarang.

Ini menunjukkan sindikat kitar semula sudah mula terdesak dan terpaksa menggunakan cara baru untuk melupuskan sisa terakhir tanpa dikesan.

Perlukah industri kitar semula e-sisa dari luar negara dibenarkan?

Di Malaysia, hanya e-sisa dari sumber tempatan dibenarkan untuk dikitar semula.

Operasi kitar semula e-sisa dikawal oleh JAS melalui Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Penggiat industri kitar semula perlu mengikut piawaian untuk pengeluaran, penyimpanan, pemindahan dan pembuangan e-sisa, di bawah seliaan JAS.

Namun, penggiat industri kitar semula berpendapat terdapat pegawai badan berwajib yang bekerjasama dengan sindiket e-sisa.

Mereka mendakwa sindiket ini akan memeras ugut pemilik kilang yang membeli sisa dari mereka, untuk membayar “wang perlindungan” jika tidak mahu operasi mereka diserbu oleh pihak berwajib.

Menurut seorang penggiat industri, inilah cara kilang-kilang kitar semula haram tersebut boleh menggajikan ribuan pekerja asing tanpa diserbu, sedangkan kedai makan dan rumah urut kecil selalu diserbu untuk memastikan pekerja asing mempunyai dokumen.

Katanya, jika pengimportan e-sisa dibenarkan dan tindakan diambil ke atas kilang-kilang haram, e-sisa yang dibawa masuk dari luar negara boleh diproses oleh kilang berlesen mengikut piawaian yang melindungi alam sekitar.

Dengan cara ini, katanya, kilang-kilang kitar semula boleh membuka peluang pekerjaan pada penduduk tempatan, alam sekitar akan dilindungi dan kerajaan dapat mengutip cukai.

Aktivis alam sekitar, Maketab Mohamed, berkata membenarkan import e-sisa ke Malaysia hanya membawa padah.

Namun, aktivis alam sekitar dan bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia percaya bahawa membenakan kitar semula e-sisa yang diimport hanya membawa padah.

Pakar kualiti air tersebut berkata apa-apa keuntungan yang diraih melalui industri ini tidak dapat dibandingkan dengan padah kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk tempatan.

China berhenti dari mengitar semula semua sisa buangan dari seluruh dunia apabila ia dapati pekerja industri ini - termasuk kanak-kanak - mengalami keracunan plumbum (lead poisoning).

Di Guiyu, Guangdong, contohnya, padi tidak berhasil kerana sumber air menjadi toksik dari buangan operasi kitar semula dan udara pula dicemari dioksin.

“Sisa yang mungkin berbahaya tidak patut dibenarkan masuk ke negara kita, tidak kira samada ia dikitar semula atau tidak. Tidak kita secara haram atau dibenarkan undang-undang.

“Kita tidak patut menjadi pusat pelupusan sisa berbahaya untuk negara lain kerana padahnya lebih parah dari habuan yang diterima.

“Hanya sekumpulan kecil dari rakyat kita akan menerima keuntungan (dari import dan kita semula e-sisa), manakala impak buruk akan melanda seluruh negara untuk jangka masa panjang,” kata Maketab.


Artikel ini dihasilkan dengan sokongan kewangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bentuk geran daripada Internews Malaysia. Kandungannya merupakan tanggungjawab penuh Internews dan tidak semestinya menggambarkan pendirian EU.