Ada apa dengan Cikgu Fadli dan isu pendidikan negara
Nasib seorang guru yang berdepan kemungkinan dibuang kerja atau diturunkan pangkat bakal dibincangkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan, hari ini.
Susulan kes dihadapi Mohd Fadli Mohamed Salleh itu Malaysiakini merangkumkan punca-punca tindakan yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap guru berkenaan.
Pada 15 Nov 2021 Mohd Fadli melalui hantaran di Facebook memuat naik tulisan bagi menjawab soalan berhubung isu silibus mata pelajaran bersesuaian dengan zaman, kapasiti murid dalam kelas dan fasiliti di sekolah.
Dia menjelaskan, jumlah murid di Malaysia dalam satu kelas lebih 40 orang, bahkan ada yang mencecah 50 orang berbanding negara maju seperti Finland dan Sweden cuma 20-25 saja sekelas.
"Jangan hanya nak samakan silibus sahaja dengan zaman dan negara maju yang lain. Perlu samakan fasiliti, masa mengajar, kemudahan juga.
"Bab kapasiti murid di dalam kelas yang padat akan mempengaruhi cara pengajaran guru dan pembelajaran murid dan memberi impak besar dalam kefahaman murid.
"Masa belajar Matematik di China ialah 15 jam seminggu. Di Malaysia cuma dua jam 30 minit. Ya, lima waktu sahaja seminggu bersamaan dua jam 30 minit sahaja. Kurang enam kali ganda daripada masa murid di negara China belajar.
"Mana mungkin orang yang belajar dua hingga tiga jam seminggu nak lawan orang yang belajar 15 jam seminggu?" katanya yang juga dikenali sebagai Cikgu Mohd Fadli.
Perbandingan Ferrari-Kancil
Dalam isu fasiliti pula guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu berkata kemudahan yang terdapat dalam sesebuah sekolah di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara maju.
Kata Mohd Fadli, di negara maju kerajaan menyediakan pembantu guru untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
"Capaian internet mereka, penggunaan smart board (papan pintar) dan kelengkapan sekolah memang dah maju seiring zaman.
"Kita? Meja guru tahun 60-an lagi pun ada sekolah yang masih guna. Kerusi meja murid tu yang dah entah berapa puluh tahun pun masih ada sekolah guna. Patah, baiki.
"Internet? Bukan semua tempat capaian internet laju. Semua orang tahu, jadi hanya silibus sahaja laju nak sama dengan negara maju, sedangkan fasiliti, saiz kelas, masa mengajar tak sama bagaimana nak capai kecemerlangan sama dengan mereka?
"Umpamanya kita nak kereta selaju Ferrari, tapi cuma ambil enjin Ferrari sahaja. Lepas tu enjin tu dimasukkan dalam kereta Kancil. Mana mahunya kereta Kancil pergi macam kereta Ferrari.
"Kata orang Kelantan, relai sekateh-sekateh, boh (terlerai satu persatu, bos)," katanya.
Selain itu pada 30 Nov 2021 Mohd Fadli melalui tulisan di Facebook juga mengkritik silibus sukjek Bahasa Melayu yang diajar kepada murid tahun satu.
"Ya, tahun satu, bukan tingkatan satu. Budak umur tujuh tahun dah nak disumbat macam-macam ilmu yang tinggi dan padat. Lepas itu asyik tanya kenapa anak-anak tak suka ke sekolah.
"Dah silibus kau orang buat macam nak suruh budak jadi sasterawan negara terus bila tamat sekolah rendah. Kasihan anak-anak kita.
"Mereka macam tikus makmal dan diperlaku bagai robot tiada perasaan untuk puaskan hati orang atasan dan agar KPI (petunjuk prestasi utama) orang di kayangan tercapai.
"Serious talk, perubahan dalam pendidikan perlu dilakukan. Sangat banyak benda perlu diubah jika mahu sistem pendidikan kita maju dan anak-anak kembali gembira ke sekolah, fikir-fikirkan," katanya.
Sementara itu pada Jun lalu, Mohd Fadli memuat naik satu rakaman video di Facebook memaparkan dia sedang mengajar seorang seorang murid tahun satu untuk mengeja soalan bagi subjek matematik.
Menurutnya separuh daripada murid di kelas tersebut masih belum mampu membaca dengan lancar malah 'merangkak' untuk mengeja sesuatu perkataan sedangkan silibus semasa pelajaran berada pada tahap tinggi.
"Separuh kelas, inilah tahap mereka. Murid ini dah kira bagus sangat dah. Mengeja merangkak lagi, sedangkan silibus tinggi. Tak terkejar murid-murid nak hambat.
"Ini subjek matematik, bukan Bahasa Melayu. Pun memerlukan murid pandai membaca. Tapi itulah, kesan PKP (perintah kawalan pergerakan) hampir dua tahun memang memberi impak besar dalam pendidikan.
"Kalau aku ada kuasa, aku suruh cikgu-cikgu berhenti ajar ikut silibus dan buku. Streaming kelas, kelas yang masih tak boleh mengeja dan membaca dengan lancar, semua guru subjek ajar baca dan asas kira saja dulu.
"Kalau ada lima kelas, mungkin hanya sekelas atau dua yang murid lancar. Kelas itu ajar macam biasa. Kelas lain, semua guru ajar baca dan asas kira," katanya.
Dalam perkembangan itu Mohd Fadli dalam satu siaran langsung di Facebook malam tadi turut mendedahkan bagaimana dia ditukarkan tempat mengajar susulan satu isu yang dibangkitkan.
Dia antara lain mendakwa pertukaran itu dibuat selepas terdapat aduan berhubung isu meminta ibu bapa supaya menyediakan satu rim kertas bersaiz A4 untuk kegunaan anak mereka di sekolah.
Katanya, rentetan itu pihak pejabat pendidikan daerah (PPD) memanggilnya dan disiasat secara terperinci termasuk rekod kehadiran ke sekolah dan rekod proses pengajaran.
Dia mendakwa walaupun tiada sebarang salah laku direkodkan, PPD tetap bertindak menukarkannya ke sekolah baru dengan alasan sudah lama mengajar asal.
Anggap patut diambil tindakan
Beberapa hari lalu Mohd Fadli mendapat perhatian ramai selepas mendedahkan bakal berdepan tindakan buang kerja atau turun pangkat oleh KPM susulan hantaran di media sosial yang mengkritik beberapa isu membabitkan sistem pendidikan.
Surat yang diterimanya itu bertarikh 22 Sept 2022 dengan tajuk 'tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat' dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan (nombor 1), Yusran Shah Mohd Yusoff.
Berdasarkan surat itu, Mohd Fadli didakwa melakukan tiga kesalahan.
Pertama kerana mengkritik jadual waktu dan mata pelajaran yang diajar di sekolah, pertuduhan kedua pula kerana membuat hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar kepada murid tahun satu di sekolah rendah.
Pertuduhan ketiga pula berkenaan tindakan Mohd Fadli membuat siaran langsung di Facebook dengan bercakap mengenai banyak silibus yang mengarut dan "syok sendiri".
Kesalahan-kesalahan itu boleh ditafsir melanggar Peraturan 19 (1) (c) dan Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993.
"Pengerusi Lembaga Tataterbib, setelah menimbangkan segala maklumat yang diterima, berpendapat bahawa tuan patut dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993," menurut surat itu.
Susulan pendedahan itu menteri pendidikan sementara Mohd Radzi Jidin memberi reaksi ringkas di Facebook dan menyatakan hasrat untuk bertemu dan berbincang dengan guru berkenaan.
Ketua Pengarah Pelajaran Pkharuddin Ghazali dalam kenyataan media semalam memaklumkan lembaga tatatertib telah menerima 'refresentasi' (surat tunjuk sebab) daripada cikgu Mohd Fadli pada 14 Okt lalu dan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu, hari ini.
Justeru, berdasarkan situasi yang berlaku itu pastinya rakyat Malaysia ternanti-nanti apakah tindakan tatatertib terhadap cikgu Mohd Fadli akan diteruskan atau diselesaikan KPM dengan alternatif tertentu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai