Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail umum agih untung, hapus hutang RM233.8j peserta Felcra

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan hari ini bersetuju untuk menghapuskan hutang peserta Felcra Bhd selain mengumumkan pengagihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 berjumlah RM181.5 juta untuk para pesertanya.

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkata dia difahamkan Lembaga Pengarah Felcra telah meluluskan cadangan untuk memohon kerajaan supaya menghapus kira hutang peserta Felcra yang tertunggak bernilai RM233.8 juta bagi projek kurang berdaya maju.

“Sehingga Disember 2021, sebanyak 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju. Kalau hasilnya kurang, saya faham macam mana hendak bayar hutang,” katanya pada program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta Felcra, pekebun kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan warga Orang Asli di Arena Merdeka di Tapah, Perak hari ini.

Ismail Sabri berkata hal berkaitan penghapusan hutang peserta Felcra itu perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebagai prosedur untuk kelulusan dan berharap ia dapat dikemukakan ke Kabinet selepas PRU15.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan seramai 74,949 peserta Felcra di seluruh negara akan menerima agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 yang berjumlah RM181.5 juta.

“Bayaran akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini yang boleh digunakan peserta Felcra untuk kegunaan pelbagai perkara,” katanya.

“Saya gembira kerana Felcra berjaya mengekalkan prestasi yang baik apabila mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding prestasi pada tahun lalu, sekali gus membuktikan kecekapan kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengurus tadbir ekonomi negara,” katanya.

Dia berkata Felcra telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju menjadi estet milik peserta dengan kos pengurusan yang minimum iaitu hanya 6.5 peratus.

Dia turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Felcra dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar kerana berjaya menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204,000 hektar, yang memberikan manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara.

Bagi pekebun kecil Risda pula, Ismail Sabri berkata bantuan berupa geran sekali bayar berjumlah RM15,000 dengan pecahan RM10,000 untuk pembelian peralatan dan RM5,000 untuk tujuan latihan telah disediakan untuk golongan belia pekebun kecil.

Kerajaan juga telah meluluskan RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh dengan kadar RM600 untuk diagihkan pada November dan Disember ini bagi membantu 232,319 pekebun kecil Risda yang terjejas akibat musim tengkujuh yang diunjurkan berlaku akhir tahun ini, katanya.

Dia berkata berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan itu dengan peningkatan kepada RM800 pada 2023.

Ismail Sabri yang pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata peruntukan yang diperakukan kepada Risda dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) adalah RM3.019 bilion bermula 2021 hingga 2025, manakala subsidi program tanam semula yang disalurkan kerajaan meningkat kepada RM13,710 sehektar di Semenanjung berbanding RM9,230 sebelum ini.

Dalam RMK12 juga, Risda diberi peruntukan RM269 juta dengan sasaran 77,183 orang pekebun kecil akan menerima manfaat keusahawanan, katanya.

“Saya yakin hasrat Risda untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil pada tahun 2025 kepada RM4,500 sebulan sekeluarga, boleh dicapai dengan pelbagai pendekatan pembangunan yang dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Ismail Sabri berkata di bawah Rancangan Tanam Semula Komersial (TSK) yang diurus Risda melibatkan kawasan seluas 18,667.83 hektar dengan jumlah peserta seramai 13,357 orang, telah berjaya menikmati hasil dividen yang membanggakan.

Menurutnya, RM73.2 juta dividen Risda TSK telah diagihkan kepada peserta pada purata RM5,480.38 sehektar seorang bagi tempoh yang berakhir sembilan bulan pertama tahun ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

-Bernama