Banjir Langkawi: Penduduk mula kembali ke rumah - Dr M
Mangsa banjir Langkawi sudah mula ke rumah setelah cuaca baik hari ini, kata penyandang kerusi parlimen itu Mahathir Mohamad.
“Saya hadir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), Dewan As Syifa Padang Mat Sirat, Langkawi untuk bertemu dengan mangsa banjir.
“Beberapa rumah dan kedai dilapor telah dinaiki air.
“Alhamdulillah pagi ini cuaca baik dan penduduk sudah mula kembali ke rumah mereka,” katanya.
Menulis di media sosialnya sebentar tadi, Mahathir berkata dia sempat singgah ke pasar Padang Mat Sirat pagi tadi.
“Walaupun terlibat dengan banjir mujurlah ia tidak menjejaskan perniagaan mereka,” katanya.
Bekas perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertugas dan menyelamatkan mangsa banjir, termasuk yang terperangkap di Telaga Tujuh akibat fenomena kepala air.
Menurut Bernama, setakat pagi tadi, seramai 38 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Syifa, Langkawi, kurang seorang berbanding semalam.
PPS dibuka lebih kurang pukul lapan malam tadi apabila kawasan sekitar Kampung Atas, di Padang Mat Sirat dinaiki air selepas hujan bermula jam empat pagi.
Beberapa mukim termasuk Ayer Hangat dan Kuah dinaiki air namun tidak melibatkan perpindahan penduduk disebabkan air telah pun surut.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan melanda pulau peranginan itu pada petang dan malam ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai