Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | 'PN12' dan kegopohan Ismail Sabri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kenyataan media perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob pada 11 Oktober 2022 menyalahkan 12 menteri kabinet Perikatan Nasional (PN) atau ‘PN12’ yang menghantar surat kepada Yang Di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen telah memanjangkan lagi polemik antara PN dan Barisan Nasional (BN).

Tidak sampai beberapa hari, Ismail Sabri membuat pusingan ‘U’, tidak menyalahkan PN12 tetapi menuduh Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN sebagai dalang surat itu dihantar, menunjukkan kegopohan dirinya dalam membubarkan Parlimen.

Pertelingkahan Ismail dan Muhyiddin ibarat “tidak pandai menari dikatakan lantai yang berjungkit" kerana ini adalah pertelingkahan kedua-dua bekas perdana menteri yang gagal dalam menguruskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ismail sendiri tidak perlu lagak betul kerdana dia yang melantik Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Apakah dia tidak mahu mengakui pelantikan pengerusi MPN ini adalah kesilapan besar buat negara? Berapakah jumlah dana rakyat yang telah dihabiskan untuk menubuhkan MPN dan apakah kesannya kepada negara?

Demi presiden Umno?

Ramai yang memahami bahawa serangan ke atas Muhyiddin ini berkisar tentang percaturan Ismail Sabri mengembalikan semula kepercayaan pemimpin dan penyokong Umno setelah dilihat sebagai pengkhianat presiden Umno dan lebih mesra PN sewaktu menjadi perdana menteri.

Atas sebab ini juga, Ismail sanggup membincang dan menyusun langkah membubarkan Parlimen bersama ‘Top 5’ Umno berbanding menteri kabinetnya yang mempunyai pandangan berbeza tentang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pembubaran Parlimen.

Malah, Ismail boleh mencari sokongan lain bagi meneruskan pentadbiran negara sehingga tamat penggal Parlimen ke-14 dengan adanya perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Malangnya, dia memilih untuk meminggirkan CSA sehingga ia membuka laluan kepada Zahid Hamidi mendesak pembubaran Parlimen.

Ini sekali lagi menunjukkan kegopohan Ismail dalam membubarkan parlimen. Ia seolah-olah menunjukkan Perdana Menteri ini hanyalah seorang ‘penyampai surat’ kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memenuhi hasrat buruk presiden Umno demi menyelamatkan dirinya sendiri daripada kes mahkamah.

Ismail telah terperangkap dalam percaturan Zahid yang mahu membubarkan Parlimen sejak sekian lama. Kesombangan Zahid untuk membubarkan parlimen kian memuncak apabila Umno-BN menang majoriti dua pertiga di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Hakikatnya , sejauh mana Ismail cuba membodek Zahid, dia hanyalah ‘poster boy’ yang hayat politiknya seperti telur di hujung tanduk. Peluang Ismail menjadi perdana menteri semula tertutup selama-lamanya selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas.

Apa yang lebih menjengkelkan hari ini adalah naratif yang dibawa Umno-BN menjelang PRU15 adalah mendapatkan mandat rakyat bagi membebaskan pemimpinya yang terpalit dengan isu rasuah dan pendakwaan di mahkamah.

Kleptokrasi vs masa depan rakyat

Bagaimana mandat rakyat untuk melawan perasuah dan Kleptokrasi pada PRU14 diakhiri dengan mendapatkan semula mandat rakyat pada PRU15 bagi membebaskan orang yang menyeleweng wang rakyat?

Umno Pekan pula menyenaraikan Najib Razak, yang didapati bersalah oleh mahkamah dan merengkok dalam penjara, menjadi calon Parlimen Pekan pada PRU15. Apakah pengundi Pekan sudi mengundi calon yang terang-terang didapati bersalah untuk menjadi Ahli Parlimen? Di mana letaknya rasional naratif ini dalam membawa Malaysia yang lebih stabil?

Siapa sangka, setelah 14 kali Malaysia mengadakan pilihan raya umum bagi memperjuangkan isu rakyat dan negara, rakyat hari ini terpaksa memilih antara menyelamatkan perompak atau masa depan negara menjelang PRU15.

Walau apa pun, naratif Umno-BN menjelang PRU15 amat buruk dan bakal memusnahkan negara. Banyak kerja tidak masuk akal berlaku sekiranya Umno-BN kembali ke Putrajaya. Emosi ‘simpati’ kepada Najib Razak itu ternyata dapat menjentik emosi para pengundi kembali kepada BN, khususnya mereka yang kurang peduli tentang perkembangan politik negara.

Soalnya, apakah naratif canggung Umno-BN mampu dipatahkan pembangkang dengan meyakinkan hati pengundi?

PH lebih menonjol dalam mengetengahkan isu dasar bagi kembali ke Putrajaya. Pendedahan ketirisan dana kapal tempur pesisir (LCS) yang berlaku zaman BN dan isu ekonomi rakyat dilihat dapat menyatukan penyokong asas PH untuk meneruskan momentum pada PRU15.

Namun, PH masih kekurangan naratif dan mesej yang boleh meyakinkan pengundi atas pagar. Penekanan PH kepada bakal calon Perdana Menteri tidak popular dan membosankan pengundi yang lebih tertarik dengan kerjasama berpasukan.

PN juga mempamerkan naratif identiti kaum dan agama yang serupa dengan Umno-BN. Meskipun pengundi Melayu mempunyai kecenderungan memilih PN selain Umno-BN, pengundi masih ragu akan kemampuan PN mentadbir negara apabila melihat kegagalan besar Muhyiddin Yassin dalam menghadapi krisis pandemik dan memperalatkan sistem demokrasi negara untuk kekal berkuasa.

Pilih yang mana?

Pandangan beberapa penganalisis politik menyatakan tidak ada satu gabungan parti yang boleh mendapat 100 kerusi pada PRU15 sudah cukup menggambarkan bagaimana sengit dan pentingnya PRU 15 kali ini.

PRU15 sepatutnya berkisar tentang kepentingan memilih sebuah Kerajaan yang mampu membawa impak yang lebih baik dalam kehidupan masyarakat dan kemajuan negara. Dengan cabaran ekonomi dan geopolitik yang masih belum reda, PRU15 perlu menjadi ‘transisi’ utama ke arah negara berdaya tahan dalam mendepani ujian jangka panjang.

Entah kenapa, perkara ini tidak berlaku. PRU15 seolah-olah menjadi medan ahli politik lama bertikam dan berdendam, sehingga tidak ditekankan langsung tentang dasar dan tawaran kepada rakyat yang sudah mencongak duit poket yang semakin kering tidak lama lagi. Jadi apa yang boleh dilakukan sekarang?

Semuanya terletak di tangan pengundi. Jika pengundi sedar akan masa depan negara menjadi pilihan utama, sudah pasti pemimpin yang gila kuasa dan terpalit dengan isu integriti akan ditolak dalam PRU15.

Jika tidak, nasib generasi akan datang musnah kerana memberi peluang kepada pemimpin yang lemah menerajui pentadbiran negara, seperti menteri-menteri PN dan BN.


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.