Amanah, Muda bersaing untuk kerusi Titiwangsa
Dengan hanya 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, dan satu lagi di Putrajaya, parti-parti dalam gabungan politik perlu bersaing untuk mendapatkan kerusi untuk ditandingi.
Terutama PH, di mana DAP telah kukuh bertapak di lima kerusi selama berdekad, manakala PKR di lima kerusi yang lain.
Justeru, hanya ada satu kerusi untuk ditandingi Amanah - Tititwangsa.
Amanah telah menyasarkan parti itu pada PRU lalu dan telah membuat banyak kerja di lapangan namun akhirnya menyerahkannya kepada Bersatu.
Hari ini, satu lagi pencabar mahu bertanding di Titiwangsa di bawah PH, iaitu Muda.
Pada Ahad lalu, The Malaysian Insight melaporkan Muda Wilayah Persekutuan memang menyasarkan Titiwangsa dan sudah ada nama untuk diletakkan - Siti Rahayu Baharin, 41 tahun.
Muda bukan komponen rasmi dalam PH namun akan memeterai kerjasama pilihan raya dengan gabungan itu dalam PRU kali ini.
Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Amanah merangkap Ketua Amanah Wilayah Persekutuan Hatta Ramli menutup mulut berkenaan pendirian PH berhubung kerusi Parlimen itu.
"Tunggu pengumuman," katanya.
Hatta juga hanya berkata tidak mengapa jika Muda ada hasrat untuk bertanding di situ.
Sebelum ini, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah berkata parti itu akan menghormati proses rundingan dengan PH dan akan menunggu untuk mengumumkan calon mereka.
Pada PRU14, Hatta dipertimbang untuk dicalonkan di situ.
Apabila Amanah menyerahkan kerusi itu kepada Bersatu, dia dilaporkan cuba untuk letak jawatan sebagai ketua Amanah Wilayah Persekutuan.
Dia akhirnya bertanding di Lumut, Perak dan menang dengan majoriti 400 undi.
Ini bukan kali pertama Amanah dan Muda menyasarkan kerusi yang sama.
Ketika PRN Johor awal tahun ini, DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ditandingi Bersatu pada mulanya diperuntukkan kepada Amanah.
Puteri Wangsa dianggap kerusi pasti menang untuk pembangkang.
Namun selepas rundingan, Amanah menyerahkan kerusi itu kepada Muda yang menang di situ.
Ketika Kongres Pemuda Amanah pada September lalu, sayap itu secara halus membayangkan rasa cemburu kepada Muda dan berkata mereka juga mahu kerusi "gred A".
Namun, tidak seperti Puteri Wangsa, saingan di Titiwangsa lebih terbuka.
Pada 2018, Bersatu menang dengan hanya 47 peratus undi popular. BN menerima 39 peratus undi dan PAS 13 peratus.
Dengan pengundi yang akan kekal memilih Bersatu dan juga PAS, ditambah pula dengan peningkatan pengundi susulan pendaftaran automatik, tiada parti yang secara jelas dilihat pasti menang di situ.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai