Skip to main
Logo Malaysiakini

BN akan putuskan kerjasama bentuk kerajaan selepas PRU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN akan menunggu selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebelum menentukan sama ada akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan, kata perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

“Kita tunggu dulu keputusan. Lepas itu kita akan keluar keputusan selepas itu. Jadi kita seberang jambatan dulu, lepas itu baru kita buat keputusan.

“(Jika) Kita buat andaian terlalu awal pun kita tak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ismail Sabri berkata sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira yang terbaik untuk negara.

“Yang pentingnya kita nakkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Umno sebelum ini mencadangkan kepada PAS supaya bekerjasama pada PRU15 di bawah gabungan Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, PAS akhirnya memuktamadkan bahawa mereka tidak akan lagi mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Umno, dan menuduh parti itu korup.

Ini secara rasminya menamatkan pakatan MN yang bermula pada September 2019.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan parti lain sekiranya tidak memperoleh majoriti mudah di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu hanya akan diputuskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan PRU15 harus dilihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perancangan awal berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Kita tunggu dulu keputusan (PRU15), kita buat keputusan selepas itu... Kita buat andaian terlalu awal pun susah juga, kita pun tidak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya nanti.

“Lepas pilihan raya nanti, keputusan dah buat. Insya-Allah kita buat apa sahaja keputusan demi kepentingan negara dan yang pentingnya kita hendak sebuah kerajaan yang stabil,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia ke-43 di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN perlu bekerjasama dengan parti lain seperti PAS untuk membentuk kerajaan jika tidak mampu memperoleh kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

Pada 16 Okt, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN perlu menang ‘melepasi 112 kerusi Parlimen’ supaya dapat menubuhkan kerajaan pada PRU15 ini.

Menyentuh mengenai pembahagian kerusi Parlimen, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata BN sedang dalam proses pengagihan kerusi antara parti komponen dan parti ‘friends of BN’ dan selepas itu menilai dari segi calonnya pula.

“Kita pertimbang semua sekali dan kita akan mengadakan mesyuarat dan keputusan akan dibuat secara musyawarah, itu biasa. Dulu lagi susah sebab komponen BN banyak, sekarang komponen hanya ada empat (Umno, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Jadi lebih mudah untuk kita bincang dan dalam waktu terdekat pasti kita akan putuskan,” katanya.