Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mana janji MB T'ganu nak umum jumlah rizab royalti minyak?'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang tokoh PKR menggesa Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan secara terbuka jumlah rizab terkumpul royalti minyak untuk negeri tersebut.

Bekas pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata desakan itu dibuat kerana Ahmad Samsuri sendiri sebelum ini pernah berjanji untuk berbuat demikian.

Kata Azan janji itu dinyatakan Ahmad Samsuri pada awal tahun ini.

"Pada awal tahun ini menteri besar berjanji untuk mengumumkan berapa jumlah duit royalti yang sepatutnya disimpan RM100 juta setiap tahun.

"Tetapi, sehingga kini dia mengelak dan rakyat Terengganu perlu tahu. Sama seperti isu tambang ECRL yang akan dikenakan kepada penumpang dari pantai timur.

"Selepas bekas perdana menteri Najib ke penjara seolah olah isu itu turut masuk penjara sama. PAS cuci tangan," katanya kepada Malaysiakini.

Azan berkata dia membangkitkan perkara itu kerana ia selaras dengan ketetapan dalam peruntukan undang-undang yang mensyaratkan kerajaan negeri menyimpan RM100 juta daripada hasil petroleum dan gas setiap tahun.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Sebelum ini, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata kerajaan Terengganu bersedia mendedahkan jumlah rizab terkumpul hasil royalti minyak dan gas namun perlu menelitinya terlebih dulu.

Kata Ahmad Samsuri, kerajaan negeri boleh memperincikan maklumat tersebut dengan memeriksa rekod lama kerana ia mula diterima sejak 1978.

Menurut Azan, kerajaan Terengganu sepatutnya jujur dan tidak mencari alasan untuk mengabaikan janji tersebut.

"Mereka sepatutnya jujur. Kalau tiada maklumat sejak 1978, apa salah umumkan maklumat setakat yang ada.

"Sekurang-kurangnya, maklumat sekadar penggal Terengganu ditadbir oleh PAS... apa masalah PAS?" katanya.

Untuk rekod, pada kempen menjelang PRU ke-14 pada 2018lalu, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memberikan 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum

Susulannya, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan "menunaikan janji" dengan memberi 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukannya penghasilan.