Skip to main
Logo Malaysiakini

Cikgu Fadli gesa beri penjawat awam kebebasan kritik k'jaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan pusat yang bakal ditubuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 digesa memberikan kebebasan kepada penjawat awam untuk memberi pandangan berhubung dasar kerajaan.

Guru sekolah rendah, Mohd Fadli Mohd Salleh membuat gesaan itu selepas dia didapati tidak bersalah dan dibebaskan dari tindakan tatatertib kerana mengkritik beberapa isu mengenai persekolahan.

"Saya minta mana-mana parti yang jadi kerajaan selepas ini tolong buang peraturan yang mana penjawat awam tak boleh mengkritik dasar dan kelemahan kerajaan.

"Bukan kita nak minta mereka kutuk kerajaan. Kita nak kebebasan bersuara untuk hal yang sepatutnya yang sesuai. Idea itu tidak boleh disekat. Biar orang keluar idea hujah mereka, kita balas cara ilmiah, kita hujahkan balik kalau kita tak setuju.

"Peraturan yang menyekat penjawat awam (daripada mengkritis dasar kerajaan) tak kira mana-mana kementerian, tak kisahlah, tolong buang. Kita jadikan negara kita benar-benar demokrasi," katanya ketika bersiaran secara langsung di Facebook, semalam.

Pada siaran itu, Mohd Fadli berkongsi keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang memutuskan dia tidak bersalah kerana mengkritik beberapa isu persekolahan.

Sebelum ini, Mohd Fadli yang mengajar sebuah sekolah di Gombak mendakwa dia berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan termasuklah mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Dia turut membangkitkan bilangan murid di dalam kelas yang terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat.

Sementara itu, Mohd Fadli berkata, pihak yang tahu kelemahan sesuatu dasar adalah pelaksana.

“Kalau KPM (Kementerian Pendidkan Malaysia), pelaksana adalah guru-guru.

"Mereka tahu mereka layak bagi komen, kritik atau ulasan dan memberi maklum balas benda ini tak sesuai, benda ini rosak dan benda ini salah.

"Kalau kalian sekat suara ini makanya apa impak dia, rosaknya sistem yang akan dapat kesan adalah anak-anak kita," katanya.

Pendidikan dan politik perlu diasingkan

Pada masa sama, Mohd Fadli berkata sistem pendidikan negara perlu diasingkan daripada politik.

Katanya, ia bagi mengelakkan individu yang memegang jawatan menggunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi.

"Saya nak politik dan pendidikan perlu diasingkan. Kerana bila bergabung dengan orang politik dia (penjawat awam) sangat susah nak lari. Dia akan gunakan kepentingan jawatan dia untuk susunan atau atur jawatan-jawatan untuk orang dia.

"Ini berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dan perlu berubah. Jika tidak hancur negara kerana rasuah,” katanya.

Namun, Mohd Fadli mengakui perkara ini akan mengambil masa.

"Dalam kementerian perlu ada integriti. Integriti ini semakin terhakis. Tolong akui, jangan menafikan.

"Dalam jabatan atau kementerian ada lantikan politik, lantikan kroni. Benda ini kena ubah.

"Menteri, kalau mendengarnya (siaran langsung ini) tolong ubah. Jangan lantik orang kalian," katanya.

Mohd Fadli turut menyindir bahawa pendidikan pencegahan rasuah perlu diajar kepada calon-calon yang bakal menang pada PRU dan bukannya budak sekolah.

"Dia nak memperkenalkan pencegahan rasuah di sekolah rendah. Budak itu tak akan sampai ke tahap itu.

"Pendidikan rasuah ini untuk orang dewasa. Siapa-siapa yang dicalonkan menjadi YB (wakil rakyat), kumpullah dalam satu dewan bagi mereka bengkel pentingnya rasuah apa bahana kalau ada rasuah unsur kronisme sebagainya.

"Itu kena didik bukan didik anak-anak. Kamu nak sumbat semua silibus peninglah mereka," katanya.