Isham bayang jadi calon, raih RM74,000 untuk kempen
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil membayangkan kemungkinan dicalonkan dalam PRU15, susulan pertemuannya dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap dalam majlis kutipan dana di Kuala Lumpur semalam, Isham berkata pertemuannya dengan Zahid baru-baru ini memberi isyarat kepadanya berkenaan perkara itu.
"Saya dipanggil untuk berjumpa presiden...InsyaAllah saya akan dicalonkan.
"Tetapi saya belum tahu di mana," katanya yang memaklumkan dia telah meraih sebanyak RM74,000 untuk kempennya.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan had belanja kempen sebanyak RM200,000, Isham berkata dia merancang untuk hanya membelanjakan RM100,000, dan pada awalnya menyasarkan untuk meraih RM50,000 menerusi sumbangan awam.
"Lebih empat tahun saya berjuang untuk parti guna wang sendiri... Jadi sebab itu sekarang saya rasa ada keperluan untuk raih dana.
"Saya lihat dalam akaun saya ada sumbangan RM5, RM10... Saya pilih untuk guna akaun peribadi kerana parti tak buat kutipan awam," katanya lagi.
Dia berkata kutipan dana itu juga selaras dengan pendiriannya yang menyokong undang-undang untuk mengawal pendanaan politik dan meningkatkan ketelusan berhubung prosesnya.
Katanya lagi, keputusan untuk menggunakan akaun sendiri juga agar Umno tidak terdedah dengan sebarang risiko, manakala penggunaan akaun syarikat atau NGO pula dilihat tidak wajar.
Untuk sumbangan terhadapnya, Isham menawarkan sejumlah barangan peribadi termasuk gitar akustik - yang berjaya meraih RM5,000 - dua poster legenda tinju Allahyarham Muhammad Ali, salinan Perlembagaan Persekutuan dan buku bertajuk Why Nations Fail yang dibelinya ketika menuntut di Universiti Harvard.
Isham dikenali sebagai individu yang rapat dengan Najib Razak dan pernah menjadi pegawai khas bekas perdana menteri itu.
Dia dilantik menjadi ketua penerangan BN Selangor pada 2020 dan menjadi ahli MKT pada Jun lalu.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Isham menegaskan tidak menerima sebarang petunjuk di mana dia mungkin dicalonkan.
"Presiden Umno tak buat sebarang komitmen. Tapi mungkin, saya rasa saya boleh diberi peluang untuk bertanding.
"Saya cuma buat persediaan... Dia (Zahid) tak cakap secara terus saya akan jadi calon, tapi saya perlu bersedia.
"Saya orang parti. Saya tak dicalonkan pada PRU14 tapi tetap terus bekerja untuk parti. Jika diberi peluang kali ini, saya sedia bertanding. Kalau tidak pun, saya tetap akan berkhidmat kepada parti," katanya lagi.
Menurut laporan, Umno Bahagian di seluruh negara pada masa ini sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan dan antara agenda utama adalah berhubung calon yang berpotensi diletakkan di kerusi Parlimen.
Sabtu lalu, laporan FMT memetik sumber dalaman Umno yang mendakwa Umno Selangor merancang untuk mencalonkan Isham di "kubu kuat PKR".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai