Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu operasi Mossad: Polis panggil wartawan, kumpulan media tuntut kebebasan akhbar 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kebebasan akhbar perlu dipertahan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu keselamatan negara dan kepentingan awam, kata Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Kumpulan prokebebasan media itu berkata demikian setelah Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim dipanggil ke Bukit Aman hari ini susulan laporan berkaitan operasi ejen risikan Israel di negara ini semalam.


Baca: Culik warga Palestin: Polis belum dapat sahkan Mossad terlibat


Dalam kenyataan sebentar tadi, Geramm berkata polis harus memaklumkan tujuan 

memanggil mana-mana pengamal media bagi membolehkan persiapan dibuat, termasuk menyediakan peguam jika perlu. 

“Individu yang dipanggil berhak untuk mengatur pertemuan mengikut kesesuaian waktu dan lokasi mereka (at their convenience), terutama mengambil kira kesibukan wartawan dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.

Kumpulan dianggotai pengamal dan aktivis media itu juga mengingatkan, wartawan yang disoal berhak melindungi identiti sumber jika perlu, selain tidak menjawab soalan yang mungkin mendedahkan mereka kepada tindakan pendakwaan.

NST hari ini melaporkan Farrah dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 1 tengah hari ini. 

Ketika laporan itu ditulis, Farrah dilaporkan sedang cuba mendapatkan pengesahan kenapa dia dipanggil.

NST awal pagi semalam melaporkan ejen risikan Israel Mossad menjalankan operasi di Malaysia, dalam perang terhadap Hamas yang dilabel rejim Zionis sebagai pengganas.

Menurut akhbar itu, mereka merekrut penduduk tempatan.

Laporan itu bagaimanapun menyebut mangsa yang dikaitkan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya Briged Izz ad-Din al-Qassam itu diselamatkan oleh polis Malaysia.

Setakat ini 11 orang didakwa di mahkamah atas pertuduhan menculik. 

Ketika polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi, pengguna maya dan kumpulan masyarakat sivil menyatakan kebimbangan mereka berkaitan isu keselamatan dan kedaulatan negara.