‘Ismail Sabri patut junjung bukan rendahkan perlembagaan’
Lim Kit Siang hari ini membidas Ismail Sabri Yaakob yang didakwa merendah-rendahkan kedudukan peguam negara.
Veteran DAP itu merujuk terhadap arahan perdana menteri sementara kepada Peguam Negara Idris Harun untuk mendakwa pendahulunya Tommy Thomas berhubung kandungan bukunya yang bertajuk, “My Story: Justice in the Wilderness.”
“Ismail Sabri sedang membawa kemunduran terhadap keadilan di negara dengan mengarahkan peguam negara untuk mendakwa Tommy Thomas sedangkan di bawah peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan, peguam negara ‘mempunyai kuasa yang boleh dijalankan’ menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
“Ismail Sabri sepatutnya menjunjung Perlembagaan dan bukannya merendahkan Perlembagaan seperti yang dilakukannya dalam ucapannya di Bagan Datuk, di mana dia telah mengarahkan Peguam Negara, Idris Harun, untuk mengambil tindakan terhadap Thomas di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA), undang-undang fitnah, dan undang-undang lain dan bahawa dia telah menyah-rahsiakan laporan siasatan ke atas buku Thomas supaya laporan ini dapat digunakan sebagai ‘peluru politik’ untuk menyerang Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim juga menyifatkan perkara itu sebagai “kes penindasan politik yang disorokkan di sebalik satu siasatan dan pendakwaan”
“Ismail Sabri sedang memperbodohkan peruntukan perlembagaan mengenai kebebasan Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding,” tambahnya.
Semasa satu program politik di Perak semalam, Ismail Sabri mengakui bahawa dia telah menyahklasifikasikan laporan mengenai buku Thomas dan isu Pulau Batu Puteh untuk digunakan sebagai modal politik menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya dah beri peluru. Dalam kes Thomas, kita dedahkan kepada umum (laporan) jawatankuasa khas yang menyiasat. Saya dah beri peluru banyak.
"Saya minta menteri undang-undang supaya siarkan (laporan) di laman web mereka, perincian apa yang dilakukan, kesalahan yang dilakukan Tommy Thomas.
"Saya beritahu peguam negara ambil tindakan segera di bawah Akta Rahsia Rasmi, di bawah (pertuduhan) fitnah dan sebagainya," kata naib presiden Umno itu.
Susulan kenyatan itu, bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata hasil siasatan terhadap buku kini tercemar dengan adanya pengakuan Ismail Sabri mengenai keinginan perdana menteri sementara menjadikan dapatan tersebut sebagai 'peluru' BN terhadap PH.
Dia juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.
"Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.
“"Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik," kata Ambiga.
Selain menyiasat Thomas mengikut OSA, Ismail Sabri juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menentukan sama ada bekas peguam megara itu telah menyalahgunakan kuasanya dan melakukan hasutan.
Polis juga sedang menyiasat Thomas berhubung kenyataannya di forum bulan lalu, yang kononnya berbaur unsur perkauman.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai