Ahmad Fadhli pula jawab Asyraf: Pemimpin PAS tak berbohong
Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari tampil mempertahankan bahawa Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan tidak berbohong berhubung intipati pertemuan dengan pemimpin tertinggi Umno pada 12 Okt lalu.
Dalam tulisan bagi menjawab dakwaan rakan sejawatannya daripada Umno Asyraf Wajdi Dusuki, ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan perbincangan sebenar hanya melibatkan empat individu iaitu presiden dan timbalan presiden kedua-dua parti.
Walaupun tidak terlibat dalam pertemuan itu katanya, dia terpanggil untuk menulis sedikit berhubung pertemuan berkenaan yang menjadi polemik sehingga ada pihak yang mencari siapa pembohong dan siapa menipu.
"Selaku ketua sayap pemuda, walaupun saya tidak terlibat dalam perbincangan-perbincangan ini, tetapi semua butiran A hingga Z dimaklumkan kepada kami ahli Jawatankuasa Harian PAS
"Pertemuan presiden dan timbalan presiden Umno bersama presiden dan timbalan presiden PAS, telah berlangsung pada Rabu 12 Oktober. Hanya empat pemimpin ini sahaja yang terlibat dalam perbincangan.
"Ditularkan gambar tujuh orang yang hadir. Sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar sepuluh minit.
"Selepas itu tiga orang yang lain pun beredar, tinggal lah empat orang pimpinan berbincang sekitar satu jam. Kekanda saya Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan beberapa hari lalu Tuan Ibrahim menzahirkan rasa kurang senang terhadap kenyataan dibuat Asyraf Wajdi.
Ia berkaitan 'maklumat dalaman' yang dibincangkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti dalam pertemuan tertutup mereka.
Asyraf Wajdi kemudian tampil mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.
Melalui hantaran ringkas di media sosial Asyraf Wajdi berkata ada banyak orang yang menjadi saksi bahawa dia tidak "merapu" serta melanggar janji seperti didakwa Tuan Ibrahim.
Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, hadirnya Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah untuk menyelami hati budi Umno, dan mendengar apakah syarat-syarat yang bakal diletakkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan presiden PAS pula hadir sebagai saksi pertemuan, dan mencatit butiran perbincangan.
"Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada presiden PAS untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari).
"Esoknya 13 Oktober, mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal perdana menteri. Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum - apakah maslahahnya, apakah mudaratnya.
"Yang timbul adalah soal nasib - bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena 'charge' esok, siapa kena 'charge' lusa) - tetapi nasib agama, bangsa, dan negara," katanya.
Tegasnya lagi, selesai musyawarah hampir empat jam, maka keputusan muktamad telah dicapai.
"Dipersetujui, diperkukuhkan PN hadapi PRU ke-15, penyatuan ummah yang terbuka tetap diteruskan. Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara, daripada terjarah di bawah PH yang lebih besar mudaratnya.
"Sekianlah sedikit fakta untuk diperbetulkan, bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk lalu, kiambang bertaut.
"Saya bersaksi bahawa, presiden PAS dan timbalan presiden PAS telah bercakap benar, tidak berbohong, dan tidak pernah memungkiri janji," jelas Ahmad Fadhli.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai