Operasi ‘Mossad’: KDN tak boleh sekadar jawab mahu teliti - Umno
Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus mengeluarkan kenyataan lebih menyeluruh berkaitan dakwaan Mossad mendalangi kes penculikan warga Palestin di negara ini, kata Umno.
“Kementerian Dalam Negeri perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti.
“Hal ini kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara,” kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas menteri dalam negeri
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kelmarin berkata kementeriannya akan meneliti dakwaan penglibatan Mossad dalam kes penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur.
"Perkara (dakwaan) seperti ini harus kita teliti, kemudian barulah kita umumkan (tindakan lanjut," dia dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Zahid berkata rakyat Malaysia tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi memastikan perkara itu tidak berulang dan tindakan diambil kepada pihak perisikan asing yang terlibat.
Dalam kenyataan hari ini, Zahid berkata Kementerian Luar Negara sewajarnya mengemukakan nota bantahan kepada Israel.
Katanya, isu itu juga perlu dibawa ke medan antarabangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan Israel yang melakukan 'terrorisme' di Malaysia.
“Ini juga bermakna negara Israel juga mempunyai aset risikan di negara ini dan harus dibanteras segera,” dakwanya.
NST awal pagi kelmarin melaporkan Mossad menjalankan operasi menculik warga Palestin di Malaysia menggunakan rekrut rakyat negara ini.
Laporan itu bagaimanapun menyebut mangsa yang dikaitkan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya Briged Izz ad-Din al-Qassam itu diselamatkan polis Malaysia.
Polis setakat ini masih belum dapat mengesahkan dakwaan penglibatan Mossad dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.
Sebelas suspek penculikan itu telah didakwa di mahkamah.
Polis semalam merakamkan kenyataan Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim susulan laporan itu.
Dia antaranya berkata polis mahu tahu bagaimana NST mendapat maklumat terperinci berkaitan plot penculikan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai