Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15 hari Sabtu: Cabaran sasar 80% keluar mengundi - IDE

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menjadi cabaran parti politik dan rakyat Malaysia termasuk masyarakat sivil untuk membina momentum agar peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15) dapat dilonjakkan melebihi 80 peratus.

Begitu kata Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir pada satu kenyataan hari ini.

"Kebiasaan juga mengundi hari Sabtu dijadikan hari mengundi bagi kebanyakan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Justeru, cabaran parti-parti politik kini dan rakyat Malaysia termasuk masyarakat sivil ialah bagaimana membina momentum agar peratusan turun mengundi boleh dilonjakkan melebihi 80 peratus turun mengundi.

"Adakah faktor hari mengundi pada hari Sabtu boleh melonjak sikap rakyat untuk berpartisipasi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam proses pilihan raya," soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, SPR menetapkan tarikh pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 Nov.

Hari penamaan calon pula pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen 14 hari.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR Ghani Salleh pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

PRU15 diadakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen pada 10 Okt.

Gambar hiasan.

Untuk rekod hari Sabtu telah dipilih sebanyak lima kali sejak 1959.

Dalam pada itu, Khairul Arifin berkata banyak faktor akan melatari peratusan turun mengundi melibatkan sikap pengundi, kaedah kempen, mobilisasi kesedaran rakyat dan paling penting soal cuaca khususnya musim tengkujuh pada bulan Nov hingga Dis.

"Selain itu, prinsip ‘kemudahan untuk mengundi’ harus juga dijadikan asas dalam membantu proses keluar mengundi.

"Bagi sekolah-sekolah yang terlalu sesak dengan jalan masuk yang kurang sesuai harus diperluaskan ke beberapa pusat mengundi tambahan.

"Ini akan mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengelakkan pengundi beratur panjang," katanya lagi.

Katanya lagi, pusat-pusat mengundi perlu diperbanyakkan bagi memudahkan rakyat turun mengundi berdekatan dengan tempat kediaman.