Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Larang masuk kampung Orang Asli sebab pengurusan bencana - Jakoa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan kontroversi surat arahan daripada Pejabat Jakoa Gua Musang yang menghalang orang luar memasuki ke kampung Orang Asli di kawasan itu tanpa kelulusan terlebih dahulu, pejabat pusat Jakoa telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan keputusan berkenaan dibuat untuk membantu pengurusan bencana.

Surat itu mengandungi arahan kepada semua ketua kampung Orang Asli di daerah tersebut supaya menghalang orang luar termasuk NGO kebajikan memasuki kawasan mereka tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

"Arahan ini bukanlah dikeluarkan daripada Ibu Pejabat, ia sebaliknya susulan daripada Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPKD) yang dipengerusikan oleh Ketua Jajahan Gua Musang yang bersidang pada 12 Oktober 2022.

"Larangan ini dikeluarkan lebih kepada kawalan dalam musim tengkujuh ini kerana dikhuatiri berlaku bencana seperti banjir atau tanah runtuh di kawasan pendalaman termasuk juga di perkampungan Orang Asli di kawasan tersebut," kata Jakoa pada satu kenyataan hari ini.

Jakoa berkata sesiapa sahaja, termasuk individu, badan bukan kerajaan dan mana-mana kumpulan yang ingin memasuki perkampungan Orang Asli perlu mengemukakan permohonan bertulis dan boleh memasuki perkampungan Orang Asli selepas mendapat kebenaran daripada jabatan itu.

"Jadi ini bukanlah keputusan atau tindakan yang mempunyai kaitan dengan pilihanraya.

"Ia adalah lebih bersifat kawalan dalaman yang ingin dikuatkuasakan oleh Ketua Jajahan Gua Musang sebagai Pengerusi Operasi Bencana Jajahan.

“Sekiranya kemasukan orang perseorangan atau (NGO) bukan kerajaan ke pendalaman tanpa pengetahuan dan pada masa yang sama berlaku bencana dikhuatiri akan menyebabkan tiada operasi penyelamatan atau menyukarkan operasi penyelamatan yang hendak dilaksanakan," jelas Jakoa.

Arahan itu mendapat tentangan hebat aktivis Orang Asli yang berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jakoa.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nasir Dollah (gambar, atas) menyoal jika arahan itu mempunyai motif politik kerana ia dikeluarkan ketika negara sedang memasuki tempoh kempen PRU15.

Nasir berkata arahan itu dilihat tidak wajar dan diharapkan kerajaan mempertimbangkannya semula apatah lagi saat berhadapan musim tengkujuh.

"Saya bimbang bila berlaku bencana seperti banjir. Selalunya manusia yang pertama membantu Orang Asli di pendalaman adalah NGO dan disusuli agensi-agensi kerajaan.

"Jadi kalau sekatan ini diberi tumpuan lebih pada NGO dan orang perseorangan, ini saya lihat tidak sepatutnya berlaku," kata aktivis Orang Asli itu lagi.

Jakoa dalam kenyataannya juga berkata jalan di Gua Musang rosak teruk akibat musim tengkujuh serta kegiatan peminat sukan lasak pacuan empat roda yang masuk ke kampung untuk menghantar bantuan pada musim hujan.

Jabatan itu menjelaskan langkah penguatkuasaan diambil kerana aktiviti berkenaan "membahayakan" penduduk dan warga pendidik untuk menggunakan laluan masuk ke kampung Orang Asli.

"Larangan penguatkuasaan ini dapat mengawal kemasukan sehingga keadaan jalan kembali pulih agar tidak menjejaskan urusan seharian masyarakat Orang Asli yang melibatkan 3,000 penduduk dan 40 buah kampung, enam pos di pendalaman Gua Musang," kata Jakoa.