Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar calon PM Pakatan Harapan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan mengumumkan Pengerusinya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution mengumumkan perkara tersebut pada konvensyen PH yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh malam ini.

"Dalam mana-mana pertempuran, mesti kita angkat seorang jeneral perang. Dalam konteks PRU, kita mesti namakan seorang PM.

"Bukan (sekadar) angkat satu batang tubuh jadi calon PM. Tapi, hakikat kita nak letakkan tokoh ini yang telah teruji.

"Emas yang bermutu tinggi ialah emas dicanai dibakar berulang kali jadi emas paling berharga.

“Sebelas tahun diaibkan dihina. Namun, dokongan dan perjuangan setia rakan-rakan.

"Bahawa memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat satu nama untuk jika mandat rakyat diberikan - calon PM ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dengan tepukan gemuruh lebih 7,000 hadirin.

Pada majlis malam ini juga, Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen Tambun.

Ini kali kedua Anwar diangkat sebagai calon PM mewakili pembangkang selepas kali pertama pada tahun 2013.

Dr Mahathir Mohamad dipilih mengetuai PH menghadapi PRU14 memandangkan Anwar ketika itu sedang menjalani hukuman penjara.

Sementara itu, Saifuddin berkata rundingan kerusi antara komponen PH telah selesai.

"Proses perbincangan rundingan melibatkan jawatankuasa perundingan PH.

"Jika sekiranya ada persetujuan tak dicapai, proses dimuktamad di 'Top 4' (pemimpin tertinggi parti komponen) PH.

"Suka saya umumkan bahawa untuk parti dalam PH, rundingan parlimen berjaya diselesaikan dan diuruskan," katanya.

Jelasnya, rundingan kerusi antara PH dengan parti-parti yang membentuk pakatan pilihan raya (electoral pact) akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Sesuai dengan keputusan majlis presiden, rundingan berikut ialah non-PH.

"Kita akan selesaikan dalam tempoh terdekat sehari dua ini," kata Saifuddin.

Dua parti yang bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan PH adalah PSM dan Muda.