Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya gembira lawan di Marang, kubu walaun paling kuat di dunia'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Bekas calon Amanah, Azhar Abdul Shukur mengumumkan akan mencabar Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Azhar yang pernah bertanding dalam pilihan raya kecil Sungai Besar pada 2016 berkata, dia sedar Amanah telah membuat keputusan yang luar biasa dengan memilihnya sebagai calon di kerusi itu.

"Apabila parti memutuskan untuk saya turun ke Marang, kubu walaun paling kuat dalam dunia, saya terima dengan gembira.

"Dan apabila Anwar (Ibrahim) mengumumkan beliau bertanding di Tambun, saya sedar parti telah membuat keputusan yang luar biasa untuk orang yang biasa-biasa macam saya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

‘Walaun’ adalah gelaran yang diberikan oleh penyokong Amanah dan Pakatan Harapan (PH) kepada penyokong setia PAS.

Azhar berkata meskipun pencalonannya di kerusi itu belum dibuat secara rasmi, namun Amanah tidak menghalangnya daripada memaklumkan perkara itu.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Marang dimenangi Abdul Hadi dengan majoriti 21,954 undi.

Pada pilihan raya itu, Abdul Hadi mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi, manakala calon PH dari PKR, Zawawi Sulong hilang wang deposit.

Abdul Hadi memenangi kerusi parlimen itu selama enam penggal, sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai kubu kuat PAS yang sukar untuk ditembusi.

Mengakui kesukaran untuk PH menembusi kubu kuat PAS itu, Azhar berkata ia bukan isu besar kerana gabungan itu tidak akan kehilangan kerusi jika tewas di parlimen Marang.

Sebaliknya katanya, seandainya PH menang di kerusi berkenaan, ia adalah suatu sejarah baru bagi negara.

"Marang kerusi tradisi PAS dan Umno. PAS biasa menang dan kekadang Umno menang. Ini bukan kerusi boleh menang untuk PH.

"Andai PH kalah di sini, PH tidak hilang kerusi tetapi andai PH menang, ia suatu sejarah baru," katanya.