Skip to main
Logo Malaysiakini

Boo tawar diri di Iskandar Puteri jika Kit Siang tetap mahu bersara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli jawatankuasa DAP Johor Dr Boo Cheng Hau menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri, bagi menggantikan penyandangnya, Lim Kit Siang dalam PRU15.

Boo mezahirkan penghargaannya kepada tujuh cawangan DAP dan penyokongnya yang mencadangkan parti mencalonkannya di kerusi berkenaan.

"Saya secara peribadi berharap dia akan kekal di Iskandar Puteri kerana dia mempunyai peluang terbaik untuk menang dalam kalangan pemimpin PH," katanya dalam kenyataan hari ini.

Boo berkata Lim telah mencipta gelombang politik di Johor apabila dia mula-mula bertanding di negeri itu, iaitu di Parlimen Gelang Patah pada 2013.

"Bagaimanapun saya tetap menghormati kehendak peribadinya serta kehendak jawatankuasa eksekutif pusat DAP dan Majlis Presiden PH.

"Jika dia (Lim) tidak mahu bertanding, dan jika saya diperlukan oleh parti untuk berkhidmat kepada orang ramai, saya sekali lagi sanggup mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya bersedia menerima pelantikan DAP dan PH untuk bertanding di Iskandar Puteri,” katanya lagi.

Lim Kit Siang ketika PRU14

Jika Lim mahu mempertahankan kerusi itu, Boo berikar akan membantu kempen tokoh veteran DAP itu.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk berkempen untuknya dan menjadi petugas pilihan raya nombor satunya," kata bekas Adun Skudai itu.

'Sukar, tapi tak mustahil'

Boo percaya bahawa pemimpin veteran seperti Lim, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, bersama-sama dengan pemimpin baru PH, mampu membawa gabungan itu kembali ke Putrajaya.

“Walaupun PH ketika ini bukan dalam keadaan di depan, ia masih ada peluang yang baik.

"Ia mesti menggabungkan pengalaman dan semangat generasi tua, pertengahan dan muda serta menyatukan semua kumpulan etnik, komuniti, gender, agama dan rakyat Malaysia dari semua kedudukan sosial untuk membawa pembaharuan sosial yang sebenar."

"Saya fikir Lim masih boleh memainkan peranan penting di dalam dan di luar Parlimen, terutamanya apabila begitu ramai pemimpin senior parti kawan dan lawan menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi mereka," katanya lagi.

Pada Mac lalu, Lim dalam ucapan di Kongres DAP mengumumkan tidak akan bertanding dalam sebarang pilihan raya dan pemilihan parti di masa akan datang.

Ketua DAP Johor Liew Chin Tong disebut-sebut sebagai calon berpontens menggantikan Lim di Iskandar Puteri.

Liew Chin Tong

Pada 2 Julai lalu, Liew yang juga penyandang Adun Perling mengiringi Lim dalam satu majlis di kawasan Parlimen itu.

Semasa acara itu, Liew berkata dia akan bertanding dalam PRU15, lalu mencetuskan spekulasi bahawa dia berhasrat untuk bertanding di Iskandar Puteri.

Pada masa sama, sejumlah ahli DAP di peringkat akar umbi mencadangkan Boo diletakkan di situ.

Boo adalah Adun selama dua penggal di Skudai, yang merupakan DUN di bawah Iskandar Puteri.

Pada PRU 2018, Boo ditawarkan untuk bertanding di Parlimen Labis, namun dia menolak tawaran itu.

Liew pula ketika itu mencabar Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam tetapi tewas dengan perbezaan hanya 303 undi.