Skip to main
Logo Malaysiakini

Empat tumpuan utama pada Konvensyen PH di Ipoh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) mengadakan konvensyen terakhirnya di Ipoh, Perak malam tadi selepas memuktamadkan beberapa perkara penting bagi kempen mereka dalam menghadapi PIlihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Acara itu menarik kehadiran kira-kira 5,000 penyokong, yang menyaksikan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim diumumkan secara rasmi sebagai calon perdana menteri dan calon bagi kerusi parlimen Tambun.

Pengumuman penting lain adalah seperti berikut:

Perak jadi benteng hadapan baru PH

PH melihat Perak sebagai benteng hadapan mereka dan dijangka akan meletakkan beberapa pemimpin tertinggi mereka sebagai calon di negeri itu.

Pada PRU 2018, PH menggunakan strategi yang sama di Johor, yang bertujuan untuk memecahkan kubu Umno di negeri itu buat julung-julung kalinya.

Perak bukanlah negeri yang asing bagi PH. Komponen parti itu, PKR dan DAP pernah mentadbir negeri itu sebelum ini.

Penganalisis memberitahu Malaysiakini bahawa PH mungkin mahu menjadikan Perak sebagai platform untuk menembusi pengundi Melayu di luar bandar.

Slogan baru

PH memperkenalkan slogan “Kita boleh”.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan slogan itu mampu menaikkan semangat aktivis parti semasa berkempen.

Selain itu, PH juga memperkenalkan lagu tema baru berjudul ‘Harapan Malaysia’.

Tidak seperti kebanyakan lagu politik yang berentak kawad (march), ‘Harapan Malaysia’ menggunakan tempo pop kontemporari dan termasuk irama rap.

Maskot baru

PH akan menampilkan maskot baru yang digelar sebagai “Jaguh Si Kancil” - merujuk kepada cerita rakyat Melayu mengenai seekor kancil yang cerdik dan berani sehingga berjaya memperdayakan buaya.

Menurut pengacara majlis, “Jaguh” mewakili pengundi bijak yang akan membuat keputusan mengenai siapa yang akan dipilih mereka untuk mentadbir negara.

“Jaguh” digambarkan sebagai seorang remaja berusia 18 tahun dari Kampung Harapan di Melaka yang gemar bermain badminton dan makan nasi lemak.

Di samping itu, "Jaguh" dikaitkan dengan watak "Tony Tony Chopper" - dalam siri manga Jepun yang terkenal 'One Piece'.

Logo bersama

Keempat-empat parti dalam PH akan menggunakan logo yang sama di seluruh negara, kecuali DAP Sarawak yang akan menggunakan logo sendiri.

Ini dianggap sebagai kejayaan besar memandangkan PKR enggan menggunakan logo PH pada pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu.

Bagi DAP Sarawak pula, mereka masih mahu kekal dengan tradisi untuk hanya menggunakan logo sendiri.

PSM mungkin ikut serta

Delegasi Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditemui pada konvensyen malam tadi.

Mereka belum mengadakan kerjasama secara rasmi dengan PH.

Saifuddin Nasution berkata PH akan memuktamadkan kerjasama dengan parti bukan PH dalam "dua atau tiga hari" lagi.

Pemimpin tertinggi Muda tidak dilihat berada di konvensyen itu. Mereka dipercayai telah memuktamadkan rundingan dengan PH.

Tidak seperti Muda, yang telah menunjukkan bahawa parti itu mempunyai pengaruh pada pilihan raya engeri Johor, PSM mengadakan rundingan dengan PH dalam kedudukan parti itu yang dilihat lemah.

PSM tidak mempunyai kubu kuat kerana keempat-empat calon parlimennya hilang wang deposit pada pilihan raya umum 2018.