Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarat Zahid untuk Ahmad Said 'naik pangkat'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, hari ini berkata parti itu dimaklumkan mereka boleh memenangi empat daripada lapan kerusi parlimen yang dipertandingkan di Terengganu.

Menurutnya hal itu dijanjikan oleh Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said.

Pun begitu Ahmad Zahid juga berpesan kepada bekas menteri besar Terengganu berkenaan, jika dia mahu 'dinaikkan pangkat' prestasi Umno di negeri terbabit perlulah lebih besar daripada empat kerusi.

"Pengerusi BN negeri (Ahmad) berjanji dengan saya, daripada lapan kerusi parlimen di Terengganu, insya-Allah sekurang-kurangnya empat kita rampas dan kita ambil alih.

"Tok Mat (Ahmad) kalau nak naik pangkat, bukan setakat empat (kerusi Parlimen) tapi mesti lebih daripada itu," katanya ketika berucap di program Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta pelancaran Jentera BN Terengganu di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata dia juga yakin yang BN Terengganu akan kembali merampas pentadbiran PAS di negeri itu apabila PRU dilangsungkan pada 19 Nov depan.

Tegas Ahmad Zahid dia juga yakin dengan solidariti dikalangan kepimpinan parti itu BN pasti memperoleh kemenangan besar.

"Tidak mustahil BN... di Terengganu ini dipanggil swing state, kejap sana menang, kejap kita menang.

"Dulu kita menang, kemudian Tok Yeh rampas balik, kita menang dia rampas balik, tapi kali ini kita rampas balik, Tok Mat," katanya.

Ahmad Zahid juga memberitahu dia yakin kemenangan di Terengganu boleh dijelmakan melalui solidariti ahli Umno-BN terutama melalui pimpinan Ahmad.

Terengganu mempunyai lapan kerusi parlimen, dengan enam daripadanya - iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman - dimenangi PAS pada 2018.

Umno pula hanya memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun kerusi Hulu Terengganu kemudiannya berpindah menjadi milik parti lain setelah pemenangnya, Rosol Wahid meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

Bagi kerusi DUN pula, pada 2018 PAS memenangi 22 kerusi manakala 10 kerusi lagi BN.