'Satu bahasa, semua faham' - kandungan BM kian meriah di media sosial
Pada masa ini, dapat dilihat penggunaan Bahasa Melayu semakin meningkat di media sosial, ia termasuklah dalam kalangan pempengaruh dan pencipta kandungan bukan Melayu.
Penggunaan bahasa itu mengundang perhatian dan membuatkan mereka meraih ramai pengikut.
Malaysiakini bercakap dengan beberapa pempengaruh untuk mendapatkan pengalaman mereka.
Antaranya adalah Boss James (gambar utama) yang merupakan pengarah urusan Berjaya Mega Motors Ent Sdn Bhd yang menyifatkan penggunaan bahasa kebangsaan adalah bukti kebanggaannya sebagai anak Malaysia.
Lelaki berusia 30 tahun ini biasanya memuat naik video pendek berkenaan dunia permotoran bersama-sama pekerjanya yang bernaung di bawah Berjaya Mega Motor.
Mengakui pada mulanya tahap penguasaannya adalah setakat untuk berbual sahaja, dia mengambil masa setahun untuk belajar bersama pasukan di syarikatnya.
Menurutnya, dia membuat video pendek berbahasa Melayu di media sosial buat kali pertama pada 11 Ogos 2019.
"Ramai orang akan tengok dan nilai perkara yang kita buat dan ia jadi contoh untuk generasi muda.
"Jadi kalau kita harapkan negara yang selamat dengan masa depan yang cerah, kita perlu jadi teladan yang baik," katanya.
Ada juga yang curiga dengan tindakannya dan malah melontarkan kecaman menerusi ruangan komen di Tiktok dan mesej di Instagram.
Kata Boss James, antara komen yang masih terngiang dalam fikirannya adalah dia dikatakan "acah-acah baik, Cina semua pandai tipu".
Namun, katanya, dia tidak berputus asa memuatnaik video-video pendek yang menerapkan nilai moral di medial sosial.
“Dalam hati setiap orang ada baik dan buruk, mungkin mereka cakap macam tu kerana risau dan takut tetapi selepas mereka kenal saya baru, mereka tahu sebenarnya niat saya baik” katanya lagi.
Sifu David, 40, pula berkata langkahnya yang sering menggunakan bahasa Melayu dalam kandungannya kini mula diikuti rakan-rakannya.
“Banyak kawan saya yang Cina dan India menggunakan video dalam Bahasa Melayu juga. “
“Kita orang Malaysia, semua kaum boleh baca dan faham (bahasa Melayu),” katanya kepada MalaysiaKini.
'Dulu televisyen, kini Tiktok'
Begitu juga dengan Calvin Khiu, usahawan berusia 41 tahun yang berharap lebih ramai pencipta kandungan akan memilih bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris dalam kandungan mereka.
Sering memuat naik video inspirasi untuk golongan muda, dia berpandangan mesej dan pengajaran yang disampaikannya mampu menjadi dorongan buat mereka yang menontonnya.
“Sebagai sesama rakyat Malaysia, kita perlu bantu apa yang kita boleh termasuk dengan cara berkongsi video," ujarnya.
Dia menyeru lebih ramai orang berminat untuk mencipta kandungan berbentuk video kerana jelas pada masa ini, khalayak lebih cenderung mnonton video pendek, terutama di Tiktok, berbanding menonton televisyen.
“Semasa kita kecil, ramai orang tengok televisyen, tetapi sekarang tidak lagi. Kebanyakan orang tengok di Tiktok.
“Jadi saya harap lebih ramai ahli politik, usahawan dan golongan muda menggunakan Tiktok untuk sampaikan apa yang mereka mahu sampaikan, yang penting mesej positif,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai