Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawasan Pekan masih dipayungi 'aura' Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Tempoh sembilan tahun Najib Razak memegang jawatan perdana menteri dilihat benar-benar meninggalkan kesan dalam kalangan pengundi di parlimen Pekan sehingga hari ini.

Ditambah pula dengan statusnya sebagai anak kepada bekas perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dapat difahami bagaimana nama Najib banyak mempengaruhi penduduk di kawasan terbabit.

Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam pada April 2009 untuk mewarisi kerajaan BN daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Ia berjalan seadanya di sebalik pelbagai isu dan tentangan daripada pembangkang.

Namun, kredibiliti Najib terjejas teruk menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 dengan pelbagai kontroversi khususnya membabitkan skandal syarikat pelaburan strategik miilk kerajaan, 1MDB.

Ia kemudian menyaksikan Umno-BN tumbang buat pertama kali dalam sejarah selepas gagal memperoleh mandat untuk kembali sebagai kerajaan.

Kemunculan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baru juga membawa khabar duka buat Najib apabila dia dan isterinya, Rosmah Mansor, didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan.

Mesti boleh buat kerja

Ketika Rosmah masih dibicarakan, Najib pula sudah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Dia akhirnya dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Selepas 30 hari Najib mendekam di Penjara Kajang, kebanyakan pengundi Pekan masih berharap bekas perdana menteri itu dapat bertanding lagi dan kembali menjadi ahli parlimen kawasan itu.

Seorang peniaga, Shaharuddin Abdul Samad, 42, berkata sepanjang tempoh Najib memegang jawatan perdana menteri, terlalu banyak bantuan disalurkan kepada rakyat.

Shaharuddin Abdul Samad

Dia yang menjadi adalah antara penerima program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan Najib mengakui, sumbangan itu banyak membantunya memulakan perniagaan.

Pada masa sama Shaharuddin mengakui kekangan semasa menyukarkan harapannya itu menjadi kenyataan.

Justeru dia terbuka untuk melihat ada tokoh lain yang bertanding bagi mengisi tempat Najib di Pekan.

“Sesiapa saja boleh ganti (Najib) asalkan boleh buat kerja macam biasa, kerajaan yang ada sekarang pun dah OK.

“Banyak bantuan yang dia (Najib) bagi dulu, macam duit BR1M, dengan duit itulah saya buat modal pusingan untuk berniaga,” katanya yang menjual air balang di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Ubai, Pekan.

Ketika ditanya mengenai siapa paling sesuai menggantikan Najib untuk kerusi parlimen Pekan, Shaharuddin berkata, mungkin Mohd Nizar - anak Najib bersama isteri pertama - boleh diketengahkan sebagai calon.

“Dari segi pengalaman, dia (Mohd Nizar) masih belum ada (pengalaman), tapi saya percaya jika diberi peluang, dia boleh (menang).

“Saya bukan orang politik, jadi tidak tahu sangatlah, tak kisahlah siapa nak ganti, asalkan boleh buat kerja dan bantu rakyat,” katanya lagi.

Letak di DUN dulu

Mohd Nizar merupakan ketua Pemuda Umno Pekan yang dipilih ke jawatan itu pada 2018. Di peringkat lain, Mohd Nizar juga diberi kepercayaan sebagai ketua biro ekonomi dan modal insan Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang, sebuah agensi di bawah kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Pekan, Zalmah Abdul Rahman, berkata memang nama Mohd Nizar antara yang disenaraikan sebagai calon bagi kerusi parlimen Pekan.

Katanya, nama itu juga dicadangkan untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam parlimen Pekan.

“Calon-calonnya sudah ada, tetapi saya pun tak tahu siapa senarai yang terkini (kerana) berada di tangan pucuk pimpinan.

“Dia (Mohd Nizar) sudah bersedia (untuk menjadi calon),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp.

Asmadi Mohd Nor

Dalam pada itu, seorang penduduk di Kampung Ganchong, Asmadi Mohd Nor, 54, ketika ditanya mengenai calon untuk menggantikan Najib, dia memberitahu, Mohd Nizar adalah individu paling sesuai.

“Cuma kalau boleh letaklah dia di kerusi DUN terlebih dahulu, selepas itu barulah dihantar ke parlimen.

“Tapi, kalau (Umno) bahagian Pekan nak terus (calonkan) ke parlimen pun tidak ada masalah, lagipun dia (Mohd Nizar) dah lama buat kerja di Pekan, terutama di Peramu Jaya,” katanya.

Bagi generasi kedua Felda Chini 2, Fikriamin Adenan, Mohd Nizar adalah calon paling berpotensi untuk menggantikan ayahnya di kerusi parlimen Pekan.

“Orang (pengundi) Pekan mesti pilih ‘Bossku’ sebab kebanyakannya memang sayang kepada Najib.

“Tapi kalau bukan dia (Najib) jadi calon, boleh ganti dengan anak dia (Mohd Nizar) confirm orang pilih (undi) sebab ada darah Tun Razak, mesti menang punyalah,” katanya yang berusia 44 tahun.

Fikiramin Adenan

Di bawah kawasan parlimen Pekan, terdapat empat DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini.

Secara umumnya, nama Abdul Razak dan Najib sudah terlalu sinonim dengan kehidupan seharian mereka, justeru siapa sahaja dipilih sebagai calon di Pekan - asalkan mempunyai pertalian darah dengan kedua-dua bekas PM terbabit - hampir pasti memperoleh sokongan penuh daripada pengundi.