Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis selawat, pameran artifak Rasulullah perlu mohon kelulusan Jais

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menerima sebarang permohonan bagi penganjuran acara Festival Selawat dan Majlis Tabarruk Artifak Rasulullah SAW yang bakal diadakan pada 29 Okt ini.

Perkara itu dimaklumkan Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Tiada permohonan dikemukakan,” katanya secara ringkas menerusi pesanan aplikasi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Ketika ditanya berkenaan keperluan mendapatkan permit untuk program sedemikian, Zawawi menjawab pihak penganjur perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu.

‘Rambut, janggut, darah bekam’

“Kena kemukakan permohonan kalau libatkan tokoh-tokoh tertentu dan pengisian luar biasa untuk Jais perhalusi,” katanya.

Festival yang akan berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) itu anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid (Pakar) sempena sambutan Maulidur Rasul.

Program ini turut mempamerkan pelbagai artifak peninggalan Rasulullah SAW "seperti rambut, janggut dan darah bekam."

Ini berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian, yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Pakar, Mohd Khairulnizam Abd Ghani.

Program persendirian, tak perlu permit

Dia menyasarkan program itu akan menarik kehadiran seramai 10,000 pengunjung.

Sementara itu, pentadbir Pakar, Muhammad Syazwan Abdullah Kahar memberitahu Malaysiakini bahawa majlis tersebut merupakan program persendirian maka penceramah saja yang perlukan tauliah pihak berkuasa agama negeri.

“Saya pun dah buat pengesahan daripada pihak Jais dan Mais, adakah program ini perlukan permit?

“Dia kata cuma pentauliahan daripada penceramah tu sahaja,” kata wakil penganjur itu.

Jelasnya, program ini dilakukan sebagai menarik pengunjung mendalami dan memperingati Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul.

“Tujuannya adalah untuk memperingati Nabi Muhammad SAW dan lebih kepada kecintaan kita kepada nabi.

“Jadi untuk artifak pameran itu, ia lebih mendalam kepada pengunjung yang datang itu untuk tengok dan lebih cinta kepada Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Ditanya mengenai artifak dan kesahihannya, katanya, bahan pameran itu diperoleh daripada satu dokumen artifak dengan kerjasama oleh rakan penganjur yang tidak disebutnya.