Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Dr M diharap sokong Anwar sebagai PM ke-10

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Perlukah Anwar bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir Mohamad? Ramai menyatakan tidak perlu.

Mereka marah kerana Mahathir tidak melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti yang dijanjikan, menyokong Azmin Ali untuk menyaingi kepimpinan Anwar dalam PKR, tidak menunaikan manifesto PH dan membuat pelantikan utama tanpa berbincang dengan Majlis PH.

Ini termasuklah menganjurkan Kongres Maruah Melayu bersama PAS dan Umno untuk meremehkan Anwar dan PH, meletak jawatan perdana menteri tanpa berbincang dengan Majlis PH sehingga membawa kepada kejatuhan PH, dan banyak lagi.

Bagi mereka, adalah lebih bermaruah melihat PH kalah daripada bekerjasama dengan Mahathir dan menggelar Mahathir sebagai tokoh khianat.

Mereka menyatakan Mahathir menanggung defisit kepercayaan rakyat yang besar kerana pengkhianatannya yang membawa kepada kejatuhan PH dan sejarah telah membuktikan Mahathir sanggup berbuat apa saja asalkan Anwar tidak menjadi perdana menteri.

Jadi, mereka mengingatkan Anwar agar tidak lagi dipatuk ular di lubang yang sama.

Tiada musuh dan lawan yang kekal

Pertanyaannya, bolehkah PH menang tanpa bekerjasama dengan parti lain? Bekerjasama itu bukan bermakna berada dalam satu pakatan yang sama.

Bekerjasama itu cukup sekadar 'electoral understanding' untuk saling berkempen dan menyokong, dan untuk mengelakkan pertandingan bertindih.

Pada yang menolak pertemuan Anwar dengan Mahathir, nasihat saya, ketepikan emosi itu. PH tidak boleh terlalu yakin.

Masing-masing Anwar dan Mahathir ada kelebihan dan kelemahan. Suka atau tidak, kedua-dua pemimpin ini sekali lagi perlu bekerjasama untuk menghalang BN/Umno menang dalam PRU ke-15 ini.

Ingat, dalam politik tidak ada kawan kekal dan musuh yang kekal. Jika melalui kerjasama boleh membawa kemenangan, maka apa masalahnya untuk bekerjasama. Cumanya pastikan kerjasama itu dibuat dengan syarat yang jelas.

Rangka dan bincanglah syarat itu. Tidak perlulah saya senaraikan syaratnya, tetapi yang penting dalam pertemuan itu, semua pemimpin PH perlu turut bersama.

Selepas itu, buat kenyataan bersama dan bagitahu rakyat syarat-syarat yang telah dipersetujui. Lebih baik lagi, tunjuklah perjanjian yang telah ditandatangani supaya rakyat boleh menjadi saksi kemudiannya.

Perbincangan kerjasama ini jangan hanya terbatas dengan Mahathir sahaja. Segerakan juga pertemuan dengan Muda , PSM, dan parti-parti yang mendokong aspirasi yang sama.

Masih ada waktu untuk berbincang. Negara kita memerlukan kestabilan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Kelmarin, ringgit kita merudum lagi. Kita terdesak memerlukan kerajaan dan pemimpin yang boleh melonjakkan kembali kemajuan negara kita yang telah banyak ketinggalan.

Oleh itu, pemimpin politik janganlah keras kepala jika mahu menang pilihan raya. Berjumpa dan berbincanglah untuk merancang strategi bersama. Tanpa bekerjasama, hasrat PH untuk menang hanya satu ilusi.

Sokongan terbuka Dr M kepada Anwar

Jika mengenangkan kesilapan Mahathir selepas PRU-14 sehingga PH tumbang, saya juga bersetuju dengan pandangan supaya dia berehat dari politik, apatah lagi mengenangkan umurnya telah 97 tahun.

Namun, PRU ke-15 ini adalah pilihan penting kita untuk melihat Malaysia terus maju ke depan. Kita memerlukan pemimpin yang mempunyai kebolehan dan keupayaan.

Kesediaan Mahathir untuk bertemu dan berbincang dengan Anwar, saya fikir bertolak daripada premis ini.

Semoganya Mahathir boleh memberikan sokongan terbuka kepada Anwar sebagai perdana menteri kita yang ke-10.

Sokongannya tentunya memberikan senyuman lebar kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, kemajuan dan kestabilan.

Bagi saya pula, saya mahukan Anwar kerana 'he has the vision of a leader, not a small-minded politician'. Setelah beberapa kali menemu bual Anwar, saya yakin dia mampu membawa negara kita megah di persada antarabangsa.

Oleh itu, kesediaan Anwar bertemu dengan Mahathir bagi membincangkan tentang PRU ke-15 ini adalah wajar dan perlu.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang cendekiawan dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.