Skip to main
Logo Malaysiakini

70 peratus kerusi diminta Muda selesai dirunding dengan PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muda telah menyelesaikan 70 peratus daripada kurang 15 kerusi yang diminta untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang melalui perbincangan rundingan kerusi yang diadakan dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda, yang sudah pun menyertai pakatan pilihan raya dengan PH, akan mempercepatkan rundingan mengenai baki 30 peratus kerusi dengan blok pembangkang.

“Saya rasa perbincangan tadi sesuatu yang positif, yang saya boleh maklumkan, 70 peratus selesai. Bermakna ada lagi perkara yang perlu dirungkai. Kita akan segerakan perbincangan dalam dua, tiga hari ini dan akan adakan perjumpaan.

"Kita minta kurang daripada 15 kerusi. 70 peratus selesai. Kita langsung tak minta kerusi yang ada penyandang," katanya kepada media selepas perbincangan dua jam dengan jawatankuasa PH mengenai rundingan kerusi hari ini.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai rundingan kerusi yang diadakan antara Muda dan jawatankuasa PH.

Guna logo PH

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata terdapat beberapa lagi kerusi yang masih dalam rundingan di mana jawatankuasa PH tidak diberi mandat untuk membuat keputusan berhubung peruntukan kerusi.

“Ia akan dibangkitkan dalam majlis presiden PH,” katanya.

“Bagaimanapun, secara umumnya ia telah dipersetujui yang kita akan menggunakan logo PH,” tambah Khalid.

Dalam perkembangan lain, Amira tidak bersetuju dengan tindakan polis menyiasat kekecohan di program anjuran Muda malam semalam, di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tak patut siasat under PAA, sebab ini melibatkan assault and battery (ancaman dan bahaya fizikal). Itu adalah satu jenayah, gesa siasat di bawah Kanun Keseksaan, (memandangkan) ada kecederaan dan harta benda yang rosak.

“Saya gesa PDRM tunjuk serius dalam pastikan kempen PRU adalah kempen bersih dan selamat,” katanya.

Semalam, sekumpulan lelaki 'bertopeng' hadir membuat kecoh pada Majlis Malam Mesra Muo anjuran Muda di Dewan Yong Sheng Muar.

Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien dilaporkan cedera semasa kekecohan tersebut, selain ada kereta yang dirosakkan.

Muda Johor kemudian berkata kumpulan lelaki tidak dikenali itu kembali meneruskan provokasi mereka dan polis berjaya menahan tiga daripada mereka.

Ini kali kedua, majlis Muda yang dihadiri presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhadapan provokasi daripada kumpulan yang belum dikenal pasti.

Pada 16 Oktober lalu, kira-kira 20 orang muncul di ceramah itu dengan motosikal dan mencetuskan perang mulut dengan ahli dan penyokong Muda ketika Syed Saddiq memberikan ucapan.

Beberapa ahli kumpulan itu menuduh Syed Saddiq sebagai "penipu" semasa ucapannya, ketika dia bercakap mengenai sumbangannya kepada pengundi Muar pada penggal lalu.