Peja tak bercadang nak jadi MB sekali lagi
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Ahmad Faizal Azumu membayangkan dia mungkin tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang.
Bercakap kepada pemberita di Ipoh semalam, Ahmad Faizal, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Peja, berkata dia tidak bercita-cita untuk menjadi menteri besar negeri itu sekali lagi.
Sebaliknya kata timbalan presiden Bersatu itu, dia mahu memberikan fokus untuk mempertahankan kerusi parlimen Tambun.
“(Untuk) DUN Chenderiang kita belum buat keputusan (untuk kekal bertanding), tapi saya secara peribadi ingin menumpukan perhatian kepada Parlimen Tambun.
"Bukan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding di situ (sebaliknya) kerana saya fikir eloklah kita beri peluang kepada pemimpin-pemimpin lain untuk kita tonjolkan," katanya merujuk kepada Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang sudah mengumumkan rancangannya bertanding di kerusi tersebut dalam PRU kali ini.
Tambah Ahmad Faizal, dia sudah melalui pengalaman sebagai Adun dan pernah menjadi menteri besar.
"Saya tak nak jadi macam parti-parti lain yang berebut nak jadi menteri besar,” katanya dipetik portal Berita Bersatu semasa berucap pada majlis sambutan Deepavali di Ipoh, Perak semalam.
Pada 2018, Ahmad Faizal mencipta sejarah dengan merampas Chenderiang daripada BN dengan kemenangan tipis mengatasi penyandangnya, Mah Hang Soon.
Mewakili PH ketika itu, Ahmad Faizal mengalahkan Mah dengan perbezaan 39 undi.
Chenderiang merupakan kawasan bercampur dengan pengundi Melayu membentuk 35 peratus.
Dalam PRU yang dijadual berlangsung 19 Nov nanti, Ahmad Faizal akan dicabar oleh presiden PKR Anwar di Tambun sebagai sebahagian daripada strategi PH untuk mengukuhkan kedudukannya di Perak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai