Skip to main
Logo Malaysiakini

Lantik 3 TPM? Kita menang PRU dulu, kata Ismail Sabri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan tiga jawatan timbalan perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu perlu menjadi sebahagian manifesto BN terlebih dahulu.

Bercakap kepada wartawan hari ini, Ismail Sabri juga berkata keutamaan ketika ini adalah memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Tak tahu lagi, biar kita menang PRU dulu. Kalau benda ini dalam manifesto, tentu sahaja kita pastikan ia dilaksanakan.

"Kita tunggu lepas menang dulu. Baru kita bincang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Ekspresi @Finas di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia hari ini.

Naib presiden Umno itu menambah bahawa BN belum menamakan mana-mana calon yang berpotensi untuk jawatan berkenaan.

"Tentu sahaja kalau teruskan dengan cadangan ini, manifesto kita ini, tentunya nama itu dari Sabah. Kalau wakil Sabah, tentunya Sabah bagi nama. Kalau wakil sarawak, kerajaan Sarawak akan bagi nama. Kita akan bincang.

"Tapi tunggu dulu lah. Biar undi kita dulu," katanya ketika ditanya sama ada calon timbalan perdana menteri akan datang dari Malaysia Timur.

Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan gabungan itu melantik tiga timbalan perdana menteri jika ia memenangi PRU pada November.

Ahmad Zahid berkata cadangan itu adalah supaya ada timbalan perdana menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia - dilantik daripada BN dan GPS Sarawak.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga membidas Pakatan Harapan (PH) dan BN kerana membuat janji untuk mewujudkan jawatan tersebut dan menyamakannya dengan tawaran "mi segera" untuk memenangi Sabah dan Sarawak.

Tuan Ibrahim dipetik Berita Harian sebagai berkata bahawa ia adalah percubaan lemah untuk meraih undi daripada pengundi di negeri tersebut.

"Itu pandangan daripada PAS. Itu pandangan dia, kita ada pandangan kita," kata Ismail Sabri.