Skip to main
Logo Malaysiakini

Idris Jusoh umum tak bertanding PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas menteri besar Terengganu Idris Jusoh memaklumkan dia tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Besut dalam PRU15.

Idris berkata, ia bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan dia sebenarnya telah menyimpan hasrat itu sejak PRU 2013.

"Namun atas kehendak parti (ketika itu), saya akur dan kekal teruskan khidmat dengan bertanding dalam PRU demi parti dan negara.

"Meskipun begitu, pada tahun sama saya telah melepaskan jawatan ketua Umno Besut kepada pimpinan baru sebagai salah satu perancangan saya untuk 'berundur secara beransur-ansur' dalam arena ini," katanya di Facebook semalam.

Idris menjadi menteri besar Terengganu pada 2008 hingga 2008. Dia merupakan Adun Besut selama dua penggal (2004 hingga 2013) dan ahli Parlimen Besut sejak 2013.

Ketika pentabdiran Najib Razak, dia dilantik menjadi menteri kewangan kedua dan kemudiannya menteri pengajian tinggi.

Pada masa ini, dia menjadi pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Walaupun tidak bertanding, Idris berkata dia akan terus berusaha untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU kali ini.

"Sekarang saya telah meniti usia 67 tahun. Masa untuk saya memberi laluan telah tiba.

"Terima kasih kepada semua pengundi dan rakyat yang telah menyokong saya sebelum ini. Juga terima kasih kepada parti yang tanpa jemu telah memberi kepercayaan kepada saya hingga kini," katanya lagi.