Buku Thomas: PH diam tanda bersalah, kata PM
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyindir PH kerana berdiam diri berhubung kes jenayah bekas peguam negara Tommy Thomas berkaitan memoirnya.
Bercakap pada sidang media hari ini, Ismail yang juga naib presiden Umno berkata tindakan berdiam diri biasanya menunjukkan pihak itu bersalah.
"Saya tak tahu kenapa mereka diam (dalam kes Thomas).
"Biasanya kalau orang bersalah, dia diamlah. Biasanya, saya pun tak tahu dalam hal ini," selorohnya.
Ismail berkata demikian detika diminta mengulas tindakan PH yang dikatakan menjarakkan diri daripada kes itu.
Pada tahun lalu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat memoirnya yang bertajuk "My Story: Justice in the Wilderness”, yang merakamkan pengalamannya ketika memegang jawatan itu.
Pasukan petugas kemudian mengesyorkan Thomas disiasat atas kesalahan hasutan dan melanggar undang-undang kerahsiaan kerajaan. Pasukan itu juga menyatakan Thomas masuk campur dalam pelantikan hakim.
Susulan itu, Ismail Sabri pada 30 September mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dengan lebih lanjut dakwaan yang dibuat dalam memoir Thomas.
ketika itu, dia berkata siasatan antaranya di bawah Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan - penyebaran laporan palsu; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Penilaian lebih ketat
Sementara itu, berkenaan PRU15, Ismail Sabri berkata Umno akan melaksanakan pemeriksaan latar belakang lebih ketat terhadap semua calon parti itu.
Selain proses pemeriksaan biasa dengan polis, SPRM dan Jabatan Insolvensi Malaysia, dia berkata Umno juga akan membuat semakan sama ada individu yang ingin dicalonkan ada sebarang kes dengan jabatan agama dan Mahkamah Syariah atu tidak.
Dia berkata, perbincangan awal antara pimpinan tertinggi sudah dibuat dengan pengerusi Umno negeri dan pusingan kedua perbincangan akan dibuat tak lama lagi.
"Kita akan buat pemeriksaan juga dengan polis, SPRM, Jabatan Insolvensi. Mungkin kali ini dengan pejabat agama dan kadi juga.
"Sebab (kalau) ada yang kahwin di Siam ke, timbul isu pula nanti. (Atau) Ada isu tak bayar nafkah anak, penghakiman (kes) di Mahkamah Syariah," katanya.
Berkenaan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, dia berkata ia masih dalam perbincangan.
"KIta tak tolak. Kita masih lagi pertimbangkan (permohonan)," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai