Skip to main
Logo Malaysiakini

GLOBAL l Pelantikan Sunak sebagai PM Britain 'peristiwa penting' - Biden

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan penamaan Rishi Sunak sebagai perdana menteri Britain seterusnya dan pemimpin kulit berwarna pertama yang memegang jawatan itu sebagai "peristiwa penting."

Ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan Deepavali di Rumah Putih, Biden berkata Sunak, yang juga berketurunan India, akan dlantik sebagai Perdana Menteri Britain hari ini selepas menghadap Raja Charles.

Sunak, jutawan dan bekas bos dana lindung nilai berusia 42 tahun itu memenangi saingan untuk memimpin Parti Konservatif pada Isnin lalu dan akan menjadi pemimpin termuda mengetuai pentadbiran kerajaan Britain dalam era moden - dan yang ketiga dalam masa kurang dua bulan.

Keluarganya berhijrah ke Britain dari India pada 1960-an, satu tempoh ketika ramai rakyat dari negara bekas tanah jajahan tersebut berpindah ke negara itu untuk membantunya membina semula selepas Perang Dunia Kedua.

"Kita mendapat berita bahawa Rishi Sunak kini menjadi perdana menteri. Dia dijangka menjadi perdana menteri saya fikir esok apabila menghadap Raja. Ini satu peristiwa penting," kata Biden.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, berkata Biden akan menghubungi Sunak dalam beberapa hari akan datang, dengan menyatakan bahawa ia adalah protokol untuk Presiden Biden mengucapkan tahniah kepada perdana menteri Britain yang baru dilantik itu.

- Reuters