Skip to main
Logo Malaysiakini

Penantian 14 tahun remaja untuk dapat status kerakyatan berakhir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas 14 tahun mengharungi pelbagai halangan undang-undang dan prosedur, seorang remaja boleh menghela nafas lega selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan yang difailkan kerajaan berhubung status kewarganegaraannya.

Peguam Annou Xavier mengesahkan panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim menolak permohonan oleh ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan.

Panel hakim turut dibarisi hakim Mahkamah Persekutuan, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

"Remaja perempuan ini telah menanti sejak 2008 ketika dia pertama kali membuat permohonan untuk kewarganegaraan di JPN, dan telah menanti sejak 22 Mei 2019, sejak dia menang kesnya di Mahkamah Tinggi.

Dengan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kita harap kerajaan akan keluarkan surat beranak dan kad pengenalan dengan segera," katanya berhubung kesukaran yang dihadapi remaja itu, yang kini merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Sungai Siput, Perak.

Lahir pada 2006 di Perak Community Specialist Hospital, kerajaan pada mulanya tidak mengiktirafnya sebagai warga. Ini kerana dia lahir sebelum perkahwinan bapanya, seorang warga tempatan, dan ibunya yang merupakan warga Filipina, didaftarkan.

Remaja itu dan bapanya, Lew Yee Hong kemudian memfailkan kes mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mei 2019. Kes itu kemudian ke peringkat Mahkamah Rayuan pada 15 Februari lalu.

Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Faizah Jamaludin dilaporkan berkata remaja itu "tidak lagi dilihat sebagai anak tidak sah taraf" ketika Kementerian Dalam Negeri menolak permohonannya, dan juga ketika tindakan undang-undang difailkan terhadap penolakan itu.

Faizah antara lain berkata ibu bapanya telah mendaftarkan perkahwinan mereka dan maka anak mereka adalah sah sejak tarikh pendaftaran, iaitu 31 Januari 2008.

Lew pertama kali membuat permohonan untuk kewarganegaraan anaknya pada 20 Februari 2008 tetapi tidak menerima maklum balas daripada pihak berkuasa.

Dia membuat permohonan kedua pada 13 Oktober 2011 dan menerima surat penolakan kira-kira setahun kemudian.

Dia sekali lagi membuat permohonan pada 9 September 2013 tetapi ditolak hampir tiga tahun kemudian, iaitu pada 5 Ogos 2016.

Mereka kemudian memfailkan tindakan undang-undang pada 28 Oktober 2016.

[Baca berita asal]